BERMULA sekadar hobi memancing, Mohd Abdullah Said, 46, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam, tidak pernah menyangka minatnya yang bermula sejak usia 25 tahun menjadi titik tolak kepada pembinaan perniagaan umpan kayu buatan tangan yang kini menembusi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura.
Anak jati Kuantan, Pahang yang menetap di Kelantan selepas mendirikan rumah tangga dengan Siti Norhasiah Abdullah, 48, seorang guru agama memulakan langkah dalam perniagaan pada 2010 selepas terinspirasi dengan teknik pembuatan umpan kayu yang dipelajari daripada pemancing Thailand.
“Pada awalnya saya ikut kawan-kawan dan lihat cara orang Thailand buat umpan kayu. Saya cuba hasilkan untuk kegunaan sendiri, tetapi lama-kelamaan kawan-kawan mula meminta untuk beli. Dalam tempoh satu hingga dua tahun, saya semakin mahir dan mula menjual ke kampung-kampung,” katanya ketika ditemui di kedainya, Pok Tam Caster di Bukit Marak, di Kota Bharu.

Pak Tam menggunakan kayu pulai untuk membuat umpan kerana ia sejenis kayu ringan yang mudah timbul dan membolehkan balingan dibuat lebih jauh serta tepat. – Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Daripada jualan kecil-kecilan, Pak Tam kini berjaya mengembangkan perniagaan secara konsisten sejak lapan tahun lalu dengan membuka kedai sendiri serta menggaji tiga pembantu tetap.
Beliau yang juga usahawan di bawah Program Bimbingan Jabatan Perikanan berkata, jualan kini tidak lagi terhad secara fizikal, sebaliknya diperluas melalui platform digital seperti Facebook dan TikTok.
Menurutnya, umpan yang dihasilkan menggunakan kayu pulai, sejenis kayu ringan yang mudah terapung, sekali gus membolehkan balingan dibuat dengan lebih jauh dan tepat.
“Setiap umpan diukir dan dibentuk secara manual. Saya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menyiapkan seekor umpan.
“Antara reka bentuk yang dihasilkan termasuk cicak, katak dan pelbagai variasi lain yang disesuaikan dengan teknik pancingan tempatan,” jelasnya.

Pak Tam (tengah) bersama dua pembantunya menunjukkan jenis umpan yang dihasilkan mereka di kedainya di Bukit Marak, Kota Bharu. – Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Umpan tersebut dijual pada harga antara RM15 hingga RM40 bergantung kepada saiz dan reka bentuk, dengan permintaan bulanan sekitar 100 hingga 200 unit.
Menurut Pak Tam, umpan buatan tangan itu sesuai digunakan untuk mengail spesies seperti haruan, toman, baung, sebarau serta beberapa ikan pemangsa air tawar lain.
Selain jualan dalam talian, beliau turut aktif menyertai acara memancing dengan membuka gerai sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi memperluas rangkaian pelanggan dan memperkukuh jenama produknya dalam komuniti pemancing.
Tambahnya, kemahiran menghasilkan umpan kayu buatan tangan bukanlah sesuatu yang dimiliki ramai individu.
“Di Kelantan, hanya tiga individu dikenal pasti mempunyai kemahiran seperti ini, masing-masing di Binjal dan Puah Lima. Di seluruh Malaysia pula jumlahnya tidak sampai enam orang,” katanya.
Beliau turut melihat perubahan ketara dalam landskap hobi memancing yang kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan wanita, sekali gus membuka peluang baharu kepada industri peralatan dan umpan pancing tempatan.
“Kini memancing bukan sekadar hobi, tetapi sudah menjadi gaya hidup dan peluang ekonomi. Jika ada kemahiran serta kesungguhan, hobi juga mampu menjadi sumber rezeki yang stabil,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Bermula sekadar hobi memancing, Mohd Abdullah Said mengembangkan perniagaan umpan kayu buatan tangan yang kini menembusi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura
- Anak jati Kuantan yang menetap di Kelantan ini terinspirasi dengan teknik pembuatan umpan kayu daripada pemancing Thailand
- Perusahaan ini berjaya berkembang dengan pembukaan kedai sendiri dan penggunaan platform digital untuk jualan
- Umpan kayu yang dihasilkan menggunakan kayu pulai, dibentuk secara manual dengan variasi reka bentuk seperti cicak dan katak
- Pak Tam mengambil masa sekitar setengah jam untuk menyiapkan seekor umpan, dengan harga jualan antara RM15 hingga RM40


