LONDON: Roy Hodgson bakal melepaskan jawatan sebagai pengurus Crystal Palace pada akhir musim ini, umum kelab berkenaan, hari ini.
Pengendali berusia 73 tahun akan menutup tirai perkhidmatannya selama empat tahun bersama kelab itu dengan menentang salah satu bekas pasukannya, Liverpool, Ahad ini.
Kontrak bekas pengurus England itu akan berakhir musim ini selepas satu lagi kempen yang menyaksikan dia berjaya mengekalkan Palace di Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Selepas lebih 45 tahun menjadi jurulatih, saya memutuskan bahawa sudah tiba masa yang tepat untuk saya melangkah keluar dari bola sepak Liga Perdana Inggeris,” kata Hodgson dalam satu kenyataan.
“Jadi dua perlawanan terakhir kami akan menjadi yang terakhir saya sebagai pengurus Crystal Palace.
“Ini adalah masa yang sangat berharga dalam kehidupan dan karier bola sepak saya kerana dapat menghabiskan empat musim terakhir ini bersama Palace.”
Bekas pengurus Chelsea, Frank Lampard disebut-sebut media sebagai calon pengganti Hodgson.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




