Hoey padam rekod dunia berusia 30 tahun

Hoey padam rekod dunia berusia 30 tahun

New York: Pelari Amerika Syarikat, Josh Hoey mencatat masa 1 minit 42.50 saat untuk memecahkan rekod dunia 800 meter (m) dalam dewan pada kejohanan New Balance Indoor Grand Prix di Boston, awal pagi tadi.

Hoey yang juga juara dunia dalam dewan 800m 2025 memadam rekod lama 1:42.67 yang dicatat pelari Denmark, Wilson Kipketer di Paris hampir 30 tahun lalu pada 9 Mac 1997.

Pelari berusia 26 tahun itu semakin hampir dengan rekod Kipketer sejak tahun lalu apabila mencatat 1:43.24 di New York, masa kedua terpantas dalam sejarah.

Pada perlumbaan itu, Hoey berada di belakang abangnya, Jaxson Hoey yang bertindak sebagai penentu rentak sebelum memecut ke garisan penamat tanpa sebarang masalah.

“Saya hanya berada di belakang Jax dan cuba kekal tenang sambil mengikut rentaknya.

“Dalam 200m terakhir, saya dapat merasakan sokongan semua orang dan usaha latihan sejak beberapa bulan kebelakangan ini benar-benar menjadi. Saya gembira dapat catat masa itu,” kata Hoey yang terlepas peluang mewakili Amerika Syarikat ke Sukan Olimpik 2024 serta Kejohanan Dunia luar stadium tahun lalu.

Dalam acara 2,000m, pelari Amerika Syarikat, Hobbs Kessler mencipta rekod dunia dalam dewan dengan catatan 4 minit 48.79 saat selepas melakukan pecutan hebat pada penghujung perlumbaan.

Catatan itu memadam rekod lama 4:49.99s milik legenda Ethiopia, Kenenisa Bekele yang direkodkan pada 17 Februari 2007.

Kessler menewaskan rakan senegara, Grant Fisher yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 4:49.48s.

“Perlumbaan ini terasa sangat baik.

“Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku musim panas lalu. Saya gagal menembusi skuad Amerika Syarikat, prestasi saya dalam Liga Berlian juga kurang baik dan sukar untuk kembali berlatih kerana saya bekerja keras tetapi tidak memperoleh hasil,” katanya.

Bintang pecut, Noah Lyles membuka musimnya dalam acara 300m yang jarang dipertandingkan. Pemenang pingat emas Olimpik 100m dan juara dunia empat kali acara 200m itu menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 32.15s.

Lyles ditewaskan tipis oleh rakan latihannya dari Trinidad dan Tobago, Jareem Richards yang mencatat 32.14 saat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top