sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki 5 sebelah negara (5s) melaungkan keyakinan mampu merangkul pingat emas di Sukan Sea Thailand meskipun ia adalah edisi pertama dipertandingkan di temasya dwitahunan itu.
Pengurus pasukan lelaki, Hasnizam Hassan optimis pasukan lelaki mampu menampilkan aksi cemerlang untuk memburu kejuaraan kerana barisan pemain yang mewakili negara mempunyai pengalaman beraksi dalam pertandingan kompetitif sebelum ini.
“Ini kali pertama hoki 5s dipertandingkan di Sukan Sea dan kami perlu melalui proses latihan serta pemilihan yang rapi. Sasaran kami ialah emas untuk pasukan lelaki dan perak bagi wanita.
“Namun, kami optimis pasukan wanita mampu menghadirkan kejutan,” katanya ketika sidang media pengumuman skuad lelaki dan wanita, hari ini.
Untuk makluman, pemain terbaik 5s negara, Akhimullah Anuar Esook bakal mengetuai pasukan negara bersama-sama Adrian Albert, Mohamad Akmal Yussaini, Muhammad Arif Syafie Ishak, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.
Pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara Piala Dunia 5s 2024 di Muscat, Oman, sekali gus meletakkan skuad negara sebagai antara pencabar utama dalam penampilan sulung acara hoki 5s di pentas Sukan Sea.
Sementara itu, jurulatih skuad lelaki, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman melihat beberapa perlawanan persahabatan sebelum Sukan Sea bermula termasuk menentang tuan rumah adalah persediaan terbaik untuk memantapkan lagi pasukan negara.
“Thailand dibimbing jurulatih berpengalaman, Megat yang pernah membawa Malaysia ke Olimpik Remaja 2018. Jemputan mereka amat membantu kerana kami dapat menilai kekuatan dan kelemahan lawan selain menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana,” katanya.
Bagi skuad wanita, tiga pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia 5s 2024 seperti Nurul Safiqah Mat Isa, Dian Nursyakira Najwa Al Qadqa Nazeri dan Nur Shafika Ahmad Kamal akan mengemudi cabaran negara dalam usaha merealisasikan pingat perak yang disasarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




