Hoki negara di persimpangan: Kekalahan besar jadi isyarat untuk perubahan

Hoki negara di persimpangan: Kekalahan besar jadi isyarat untuk perubahan

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memikirkan hala tuju skuad kebangsaan selepas ini.

Pencapaian di kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah sudah cukup menjadi kayu pengukur kepada kemampuan sebenar skuad bimbingan Sarjit Singh.

Apatah lagi kekalahan memalukan Malaysia kepada Belgium 1-9 membuktikan kelemahan skuad negara.

Peminat sukan itu sudah mula bersuara, mahu perubahan drastik dilakukan jika benar-benar ingin layak ke Kejohanan Dunia tahun depan, dengan pencapaian di Piala Sultan Azlan Shah menjadi kayu pengukur.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, tidak menyembunyikan rasa kecewanya selepas Malaysia sekadar menamatkan saingan di tempat keempat apabila dibelasah New Zealand 6-1 pada aksi penentuan tempat ketiga, biarpun saingan peringkat awal Speedy Tigers berjaya mengikat lawan itu.

“Mereka kena fikirkan hala tuju. Adakah ini yang mereka mahu? Adakah pencapaian di Piala Sultan Azlan Shah ini memberi petanda positif?

“Bawa masuk Faizal (Saari) pun langsung tak ubah apa-apa. Level kita tidak menunjukkan peningkatan langsung. Begitu saja dari dulu.

“Jadi pengurusan kena fikir, inikah yang mereka nak,” katanya.

Pekan menegaskan kelemahan pasukan terlalu jelas biarpun melihat pemain menunjukkan semangat juang, tetapi dari segi fizikal, kekuatan, kelajuan dan kemahiran individu, pemain negara jauh ketinggalan.

“Kalau tahu taktikal macam mana pun tak guna kalau pemain sendiri lemah. Semangat melawan itu ada, tapi kekuatan dan fizikal kita kalah segala – galanya. Susah nak lawan pasukan Eropah atau Asia yang lebih mantap,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan melantik jurulatih luar sebagai jalan penyelesaian.

“Kita sudah cuba banyak jurulatih tempatan, ada yang berjaya, ada yang gagal. Kebanyakannya gagal. Kalau nak serius, mungkin jurulatih luar boleh bantu. Sudah sampai waktunya kita nilai semula hala tuju pasukan hoki negara,” ujarnya tegas.

Malaysia membuka kempen dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Kanada sebelum seri 2-2 dengan New Zealand.

Namun, selepas itu prestasi merudum. Malaysia tewas 3-4 kepada India, dibelasah 1-9 oleh Belgium, dan tewas tipis 3-4 kepada Korea sebelum ditumbangkan 1-6 oleh New Zealand di penentuan tempat ketiga.

Keputusan ini menjadikan Malaysia kini ranking ke-13 dunia, jauh ketinggalan di belakang Belanda (1), Jerman (2) dan Belgium (3).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top