ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara bangkit penuh bergaya apabila membelasah Kanada 6-1 dalam aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile, awal pagi tadi.
Kemenangan besar itu cukup bermakna buat Malaysian Tigress yang sebelum ini tewas 0-5 kepada Ireland pada aksi pembukaan.
Namun, kekalahan itu langsung tidak mematahkan semangat pasukan apabila mereka tampil dengan aksi lebih tersusun, agresif dan klinikal di depan gol.
Malaysia membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin.
Kanada menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan padang Chloe Walton, namun selepas itu pentas menjadi milik skuad negara.
Nur Afiqah Syahzani Azhar meledak dua gol padang pada minit ke-20 dan ke-28 untuk memastikan kedudukan 3-1 sebelum rehat. Babak kedua menyaksikan Zati Alyani Muhammad Zubir menambah jaringan pada minit ke-36 sebelum dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Nuramirah Shakirah Zulkifli (m-39) dan Fatin Shafika Mahd Sukri (m-46).
Lebih manis, ia adalah kemenangan pertama Malaysian Tigress dalam lima pertemuan menentang Kanada, sekali gus memadam memori kekalahan 0-3 kepada lawan sama pada 2024.
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim memuji kebangkitan serta kematangan dipamerkan barisan pemainnya.
“Pemain berikan yang terbaik dan ini hasil disiplin tinggi serta taktikal berkesan diterapkan, berbeza semalam (menentang Ireland) namun masih terdapat ruang penambahbaikan lagi.
“Kita akan rehat sehari sebelum aksi menentang Jepun. Kami akan gunakan kesempatan ini untuk melihat video pasukan Jepun, mereka adalah pasukan pilihan namun kita tidak akan berikan laluan mudah dan akan berikan persembahan lebih baik daripada hari ini,” katanya.
Ketika ini, Ireland memimpin carta Kumpulan B dengan enam mata.
Jepun berada di tangga kedua berdasarkan perbezaan jaringan walaupun berkongsi tiga mata dengan Malaysia, manakala Kanada tercorot tanpa sebarang mata.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke separuh akhir.
Tiga pasukan terbaik setiap kempen kelayakan akan layak secara automatik ke saingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos depan.
Satu lagi slot akan ditentukan berdasarkan ranking dunia membabitkan pasukan di tempat keempat terbaik daripada dua kejohanan kelayakan, dengan satu lagi saingan berlangsung di Hyderabad, India.
Justeru, pertemuan menentang Jepun pada esok bakal menjadi penentu hala tuju skuad negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




