Homebois fokus bina mentaliti juara – Ervan

Homebois fokus bina mentaliti juara – Ervan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Homebois, Ervan Pratama akan memberi tumpuan khusus kepada aspek ketahanan mental pemain untuk memastikan pasukannya berada di landasan tepat bagi pertandingan Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi, bulan depan.

Jelas jurulatih kelahiran Indonesia itu, pada aksi final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia bagi Musim ke-15 (MPL MY 15) semalam, perbezaan paling ketara antara mereka dan Selangor Red Giants (SRG.OG) adalah daripada segi ketahanan mental sepanjang perlawanan.

“Saya rasa buat masa ini, dari segi mental, kami belum bersedia untuk MSC. Tetapi jika menilai dari segi perkembangan gameplay, saya percaya kami masih mampu bersaing.

“Saya tak setuju jurang taktikal permainan itu terlalu besar. Jurang sebenar adalah mentaliti antara dua pasukan.

“Kami belum ada mentaliti seperti SRG.OG yang fokus mereka sudah berada pada tahap antarabangsa. Mungkin Homebois masih berada pada tahap MPL MY,” katanya.

Justeru, beliau akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk memastikan setiap pemain Homebois dapat membina karakter dan keinginan untuk menjadi juara kerana itu mampu membantu meningkatkan prestasi individu.

“Kami perlu bina mentaliti sebagai juara, bukan sekadar ‘kami nak layak ke MSC’ atau mentaliti tempat kedua.

“Kalau nak bersaing di peringkat dunia, pemikiran seperti itu perlu diubah,” katanya.

Terdahulu, pada aksi Grand Final semalam, SRG.OG mempamerkan dominasi menyeluruh apabila mudah mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Homebois, sekali gus mencipta sejarah baharu dengan menjuarai MPL MY buat kali ketiga berturut-turut.

Kedua-dua pasukan akan mewakili negara ke MSC untuk tahun kedua berturut-turut dan SRG.OG akan turun selaku juara bertahan selepas muncul juara pada edisi lalu.

Sekiranya wakil negara itu berjaya muncul juara sekali lagi, mereka bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai lebih RM4 juta.

Malah, sekiranya salah satu pasukan berada di kedudukan terbawah sekali pun, mereka tetap akan menerima ganjaran RM127,350.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top