Homeguard tertua di Malaysia jadi keluarga angkat IPD Lipis

KUANTAN – Bagi menghargai jasa dan pengorbanan bekas homeguard tertua di negara kini berusia 110 tahun – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menjadikannya keluarga angkat.

Ia bagi memastikan Ariffin Mat Drisyang mendapat perhatian dan kebajikannya terjaga.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, Ariffin Mat  kini mengalami keuzuran, tidak mampu berjalan dan penglihatan semakin kabur sejak awal tahun ini.

Bertindak atas keprihatinan kepada pejuang negara, pihaknya dan wakil Pejabat Perkhidmatan Parlimen Lipis berkunjung di Kampung Tanjung Buloh, Kerambit di sini bagi memberikan kerusi roda  dan menghulurkan bakul bantuan makanan.

“Beliau baharu sahaja keluar daripada hospital setelah menerima menerima rawatan selama dua hari berikutan mengalami muntah darah dan uzur.

“Besar jasa Ariffin, dahulu beliau pernah bertugas sebagai homeguard antara 1948 hingga 1959 di Kampung Banggul Cik Wan, Pasir Mas, Kelantan.

“Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad meminta saya dan wakil Pejabat Perkhidmatan Parlimen menziarahinya serta menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azli, Ariffin berjasa kepada negara dan berjuang ketika era komunis dahulu yang kini masih hidup bersama dua orang rakannya lagi berusia antara 80 hingga 90 tahun dan tinggal di Kampung Tanjong Buluh, Lipis.

Pasukan Polis Diraja Malaysia, katanya, menghargai dan menyanjung tinggi perkhidmatan Ariffin sebagai wira negara yang menjaga keselamatan kampung serta mempertahankan negara sehingga pasca merdeka. – MalaysiaGazette