Langkah terbaru Honda untuk merombak semula struktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan sekadar perubahan dalaman biasa, tetapi mencerminkan tekanan besar yang sedang dihadapi pengeluar Jepun itu, khususnya daripada kebangkitan pesat industri automotif China.
Dalam usaha untuk kembali kompetitif, Honda kini memilih untuk menggunakan semula pendekatan lama yang pernah menjadi tunjang kejayaannya. Ia memberi lebih banyak kebebasan kepada jurutera untuk berinovasi berbanding struktur korporat yang terlalu berpusat dan penuh dengan “red tapes”.
Sebelum ini sekitar tahun 2020, Honda telah menyusun semula organisasinya dengan menggabungkan fungsi pembangunan kenderaan di bawah satu entiti besar. Tujuannya ialah untuk meningkatkan kecekapan, mempercepatkan proses, dan mengurangkan pertindihan kerja.
Namun dalam praktikal sebenar pendekatan ini dilihat mengorbankan kreativiti dan kepantasan membuat keputusan, dua elemen teras yang suatu ketika dahulu menjadikan Honda antara pengeluar paling inovatif di dunia. Dengan cabaran baharu yang jauh lebih kompleks, syarikat itu menyedari bahawa efisiensi semata-mata tidak lagi mencukupi.
Kebangkitan pengeluar automotif China seperti BYD menjadi faktor utama perubahan ini. Dalam tempoh yang singkat, syarikat-syarikat automotif dari China berjaya menghasilkan model baharu dalam masa sekitar 18 bulan sahaja, jauh lebih pantas berbanding kitaran pembangunan tradisional pengeluar Jepun yang kadangkala mencecah 36 bulan.
Bukan itu sahaja, China juga mendahului dari segi integrasi perisian, teknologi bateri, serta menawarkan harga yang lebih kompetitif. Ini menjadikan jurang antara Honda dan pesaing dari China semakin ketara, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik (EV) yang kini menjadi medan persaingan utama.
Kesan daripada perkembangan ini jelas dapat dilihat pada prestasi jualan Honda di China, yang dilaporkan merosot dengan ketara. Pasaran yang suatu ketika dahulu menjadi antara penyumbang terbesar kini bertukar menjadi medan yang sukar ditembusi.
Produk EV Honda pula dilihat kurang menarik dari segi nilai dan teknologi jika dibandingkan dengan tawaran pengeluar tempatan. Dalam erti kata lain, Honda bukan sahaja kehilangan momentum, tetapi juga berdepan risiko kehilangan relevansi di pasaran paling penting dunia itu.
Melalui penyusunan semula terbaru ini, Honda berhasrat untuk mengembalikan semangat asal yang pernah diterapkan oleh pengasasnya iaitu Mr. Soichiro Honda dengan memberi kebebasan kepada jurutera untuk mencuba, bereksperimen dan mencipta sesuatu yang luar biasa.
Struktur baharu ini dijangka akan mengurangkan birokrasi dalaman, mempercepatkan proses membuat keputusan, serta menggalakkan kolaborasi yang lebih erat antara pasukan kejuruteraan, perisian dan produksi.
Honda juga menyasarkan untuk memendekkan tempoh pembangunan kenderaan, satu aspek yang kini menjadi penentu utama kejayaan dalam industri automotif moden. Dengan menggabungkan kepakaran mekanikal tradisional mereka dengan pendekatan pembangunan perisian yang lebih pantas dan fleksibel, Honda berharap dapat menghasilkan produk yang kompetitif dari segi spesifikasi dan relevan dengan kehendak pengguna masa kini.
Secara keseluruhannya, langkah ini boleh dilihat sebagai satu bentuk reset strategik. Honda mengakui bahawa pendekatan lama yang terlalu berorientasikan korporat tidak lagi sesuai dalam landskap industri yang berubah pantas.




