Hong Kong umum pelan pembelian balik hak milik penduduk Wang Fuk Court susulan kebakaran

Hong Kong umum pelan pembelian balik hak milik penduduk Wang Fuk Court susulan kebakaran

Hong Kong: Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) pada Sabtu mengumumkan rancangan untuk membeli balik hak milik hartanah daripada pemilik unit pangsapuri di tujuh bangunan Wang Fuk Court yang rentung dalam kebakaran maut pada akhir November lepas, lapor Xinhua.

Timbalan Setiausaha Kewangan Kerajaan HKSAR, Michael Wong dalam satu sidang media berkata pembelian itu akan dibuat sama ada secara tunai atau pertukaran hak milik hartanah, dengan anggaran jumlah perbelanjaan sekitar 6.8 bilion dolar Hong Kong (kira-kira US$870 juta).

Menurut beliau, kerajaan HKSAR akan menanggung semua risiko undang-undang dan ketidaktentuan berkaitan insurans atau prosedur lain selepas pembelian berkenaan dimuktamadkan.

Pelan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada sebuah lagi bangunan di Wang Fuk Court yang tidak terjejas dalam kebakaran terbabit.

Wong berkata kerajaan HKSAR sedang mempertimbangkan untuk meruntuhkan tujuh bangunan yang terjejas akibat kebakaran itu dan menukar kegunaan tanah berkenaan bagi pembinaan taman atau kemudahan komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top