Honor lancar Magic7 Pro dengan keupayaan AI terbina

Honor lancar Magic7 Pro dengan keupayaan AI terbina

saufi@mediaprima.com.my

Pengeluar perkakas pintar terkemuka, Honor melancarkan peranti kelas perdana terbaharu iaitu Honor Magic7 Pro yang dikuasakan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Pada masa sama, Honor turut memperkenalkan variasi premium daripada rekaan Porsche Design Honor Magic7 RSR.

Menerusi pelancaran berkenaan, peranti berkenaan menawarkan keupayaan AI terbina untuk memudahkan kegunaan harian pengguna.

Menyentuh aspek spesifikasi, Honor Magic7 Pro dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Elite iaitu pemproses kelas perdana sekali gus menjadikan peranti berkenaan mampu untuk melancarkan sebarang aplikasi.

Peranti ini hadir dengan tetapan tiga lensa dengan sistem kamera AI Falcon dengan sensor Utama 50 Megapiksel (MP) bersama lensa sudut lebar 50MP dan lensa ultra telefoto 200MP dengan bacaan aperture F/2.6.

Tetapan sistem kamera berkenaan sekali gus mampu untuk menghasilkan imej berkualiti serta zum lebih 100X tanpa sebarang masalah atau mencacatkan imej asal.

Peranti ini juga memberikan rakaman imej lebih jelas daripada jarak 30X hingga 100X.

Timbalan Pengarah Negara Honor Malaysia, Matthew Ng berkata, peranti Magic7 Pro menampilkan keupayaan AI canggih yang merevolusikan fotografi, meningkatkan kualiti paparan dan memberikan prestasi perkakasan yang luar biasa. 

“Pembantu AI ini membolehkan pengguna menjana idea, mempelajari kaedah baharu, menulis emel, merancang acara dan banyak lagi. 

“Honor Magic7 Pro menyampaikan pengalaman fotografi yang luar biasa dengan Sistem Kamera AI Falcon HONOR yang termaju,” katanya.

Tanda harga untuk Honor Magic7 Pro bermula RM4,599 dengan variasi 12GB bersama storan 512GB dan RM5,199 bagi tetapan 16GB dan 1TB.

Bagi variasi Porsche Design Honor Magic7 RSR dijual pada harga RM6,999 (24GB+1TB). 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top