HONOR Magic9 Pro Max raih dwi pengiktirafan sinematik ARRI, FINAS

HONOR Magic9 Pro Max raih dwi pengiktirafan sinematik ARRI, FINAS

KUALA LUMPUR: Landskap videografi telefon pintar kini memasuki fasa baharu susulan pelancaran peranti mercu terbaharu HONOR, HONOR Magic9 Pro Max yang membawakan anjakan besar dalam teknologi visual mudah alih.

Model ini melakar pencapaian tersendiri apabila meraih dwi pengiktirafan sinematik daripada perintis kamera Hollywood, ARRI serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Kehadirannya bukan sekadar menambah pilihan telefon pintar premium, malah dilihat bersedia mencabar dominasi peranti sedia ada yang sekian lama menjadi penanda aras rakaman video dalam kalangan pencipta kandungan dan vlogger.

Kerjasama kejuruteraan bersama ARRI, jenama kamera sinema tersohor dari Munich, Jerman yang digunakan dalam penghasilan filem pemenang Oscar seperti Parasite, Dune, dan Everything Everywhere All at Once menjadi tonggak utama keupayaan peranti ini.

Menerusi kolaborasi tersebut, sistem pengimejan HONOR Magic9 Pro Max dibangunkan semula dari asas bagi menyokong profil video ARRI LogC3 dan ruang warna ARRI Wide Gamut (AWG).

Integrasi ini membolehkan kamera merakam julat dinamik yang luas serta mengekalkan perincian di kawasan cerah mahupun gelap secara seimbang. 

Hasilnya, peralihan cahaya dan bayang kelihatan lebih lembut dengan tona warna kulit yang jauh lebih semula jadi.

HONOR Magic9 Pro Max raih dwi pengiktirafan sinematik ARRI, FINAS

Bagi memudahkan pengguna dan pencipta kandungan, HONOR turut memadankan cip pengimejan khas bersama set profil warna rasmi, ARRI Look. 

Ciri ini membolehkan kualiti visual gred sinema dihasilkan secara masa nyata hanya dengan satu sentuhan tanpa memerlukan proses gred warna pasca penerbitan yang rumit.

Di peringkat tempatan, keupayaan peranti ini terus diperakui apabila FINAS menamakan HONOR sebagai Rakan Kongsi Rasmi Telefon Pintar Pengimejan Sinematik bagi Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).

Kerjasama strategik antara HONOR dan FINAS ini bakal diperluas menerusi beberapa inisiatif jangka panjang dalam usaha merancakkan ekosistem kreatif serta industri perfileman tanah air. 

Perkembangan ini membuktikan penghasilan video berkualiti layar perak kini bukan lagi eksklusif kepada perkakasan sinema yang mahal, sebaliknya mampu dihasilkan terus dari genggaman tangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top