am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sindiket ceti haram atau ‘along’ dari luar negara, khususnya Singapura, diingatkan supaya menghormati undang-undang negara ini dan tidak sewenang-wenangnya melakukan jenayah keganasan terhadap peminjam tempatan.
Aktivis Masyarakat, Michael Tay Chee Boon menegaskan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dan sebarang tindakan melampau seperti membakar rumah peminjam tidak akan dibiarkan tanpa tindakan undang-undang.
“Perkara ini, along dari luar negera patut faham terutamanya dari Singapura. Kalau mereka terbabit dengan jenayah di negara ini, kita ada undang-undang. Malaysia bukan tempat untuk mereka sesuka hati buat apa sahaja.
“Kita perlu sampaikan satu mesej jelas kepada mereka, jangan ingat Malaysia ini mudah diperdaya. Jika kena tangkap, mereka boleh dihukum sebat dan penjara, sama jika kita lakukan jenayah di negara mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket along ini, Michael Tay berkata, kebiasaan sindiket itu bertindak membakar rumah peminjam selepas berang apabila peminjam gagal melunaskan bayaran balik akibat kadar bunga yang dikenakan sudah semakin tinggi.
Oleh itu, Michael berkata, peminjam juga tidak boleh hanya mendiamkan diri dan tidak mengambil langkah awal apabila mula menerima ugutan daripada along.
Menurutnya, peminjam sepatutnya lebih peka dengan risiko kadar bunga sebelum membuat keputusan untuk meminjam.
“Beberapa tindakan segera perlu diambil oleh peminjam sebelum keadaan menjadi parah antaranya salurkan seberapa banyak maklumat mengenai along kepada pihak ketiga sama ada polis atau mana-mana perunding dengan kadar segera.
“Sebaik sahaja menyedari tidak mampu membayar balik pinjaman selepas along menaikkan kadar bunga, segeralah maklumkan kepada pihak polis. Serahkan segala bukti fizikal seperti nombor pendaftaran kenderaan mencurigakan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), nombor telefon along serta teks mesej ugutan.
“Jika berlaku kes sebegini, cari pihak ketiga lebih awal untuk menyelesaikan pertikaian kadar bunga dengan along. Jangan tunggu sehingga rumah sudah dibakar baharu mahu bertindak.
“Maklumkan juga kepada jiran terdekat supaya mereka juga dapat berwaspada kerana keselamatan seluruh kawasan kejiranan turut terancam akibat tindakan khianat along,” jelasnya.
Michael berkata, tindakan khianat seperti membakar rumah bukan sahaja membahayakan nyawa, malah mengundang beban kos binaan semula yang tinggi, terutamanya jika kediaman itu tidak dilindungi oleh polisi insurans.
Beliau bagaimanapun menyatakan kesediaan bersama pasukannya untuk bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut antara peminjam dan pihak along.
“Saya tawarkan diri jika mahu saya uruskan perkara ini. Saya nak cakap terus pada along supaya mereka berundur. Kita boleh buat rundingan, tetapi kena ada wakil dan saya perlu tahu berapa jumlah sebenar hutang asal itu. Kita runding semula kadar bunganya.
“Bukan kita nak perangkap mana-mana pihak, tetapi melaporkan kepada polis adalah hak mutlak kita untuk keselamatan. Sebelum pinjam kena tahu kadar bunga, dan jika tidak mampu, jangan sesekali meminjam,” katanya.
Awal bulan ini, media melaporkan, empat sekeluarga hidup dalam ketakutan apabila kediaman mereka di Taman Bukit Indah di sini, menjadi sasaran bom petrol dua hari berturut-turut, dipercayai angkara along dari Singapura.
Bulan lalu, media turut melaporkan, semakin ramai along Singapura dikesan melakukan keganasan melampau dan ancaman keselamatan di negara ini, susulan ramai mangsa di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor membuat laporan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




