Saadiah_ismail@bh.com.my
Petaling Jaya: Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu menghormati peraturan serta mengendalikan sebarang isu sensitif dengan penuh adab tanpa menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Islam adalah agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam.
Namun, katanya, perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk sesiapa pun menghina amalan masyarakat bukan Islam, begitu juga sebaliknya.
“Mutakhir ini, seperti mana semua tahu, hangat diperkatakan mengenai soal rumah ibadat yang tidak ikut peraturan, dan juga soal khinzir.
“Dalam masa yang sama, kita tahu peraturan apa yang boleh, apa yang tidak boleh, tetapi kita kena tangani dengan baik dan hormat serta jangan sampai menghina.
“Sebab itulah, apabila ada masalah, kita tangani dengan baik kerana ini adalah negara yang berteraskan kepada undang-undang.
“Setiap isu, kontroversi serta perbezaan pandangan perlu ditangani berdasarkan lunas perundangan demi memelihara kestabilan, kesucian agama serta perpaduan rakyat,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng.
Mengulas isu pembinaan kuil Hindu, Anwar menegaskan negara ini menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak boleh membenarkan pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi prosedur ditetapkan.
“Sebagaimana tokong Cina, gereja Kristian, masjid dan surau mematuhi peraturan, begitu juga kebanyakan kuil Hindu mematuhinya.
“Jika peraturan tidak dihormati, ia akan menimbulkan masalah. Negara ini mesti berasaskan undang-undang, bukan kehendak atau emosi mana-mana individu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya timbul sebarang isu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menanganinya mengikut saluran yang betul.
“Kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri. Undang-undang mesti dihormati dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.
“Malaysia mesti kekal sebagai negara aman yang mematuhi undang-undang. Sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, bukan individu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




