PASIR GUDANG: Gesaan supaya keahlian sembilan ahli Parlimen PKR yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman hanya akan mengeruhkan keadaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim berkata, PKR seharusnya menerima secara terbuka perbezaan pandangan dalam parti seperti dilakukan sembilan pemimpin tersebut.
“PKR perlu menghormati hak mereka untuk berbeza pandangan atau cadangan yang diberikan dengan mengkritik kerajaan.
“Tidak perlu tindakan disiplin, ini (pecat mereka) bukan kaedah yang sesuai. Jadi saya tidak bersetuju dengan cadangan 19 ketua cabang PKR di Johor untuk menggantung mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja bersama-sama Persatuan Peniaga Kecil Masai di Pekan Masai, di sini hari ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan ahli Parlimen PKR lain mendesak kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan badan kehakiman.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkait pelantikan dalam institusi kehakiman.
Langkah itu bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa.
Susulan itu, 19 ketua cabang PKR di Johor mendesak sembilan ahli Parlimen itu digantung keahliannya kerana melanggar disiplin dan etika parti selain memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Menurut Hassan, pucuk pimpinan parti perlu mengadakan pertemuan dengan sembilan ahli Parlimen berkenaan untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, tidak wajar buat PKR yang merupakan parti politik yang demokratik tidak mendengar suara atau kritikan daripada ahli atau bekas pemimpin parti.
“Isu ini bukan isu disiplin, ini isu pandangan, jumpa mereka cari solusi cara baik, jangan sampai digantung. Kita mesti terus bersatu dan bukan pecah belah,” ujarnya. – UTUSAN