'Hormati kuasa prerogatif Agong beri ampun, tunda hukum' – Istana Negara

'Hormati kuasa prerogatif Agong beri ampun, tunda hukum' – Istana Negara

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara melalui kenyataan memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini.

Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib, terutama dalam soal berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan sebelum ini berkata Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

AGC berkata, keputusan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub di bawah ini Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam permohonan difailkan April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri; Ketua Pengarah Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika Titah Adendum itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu apabila memutuskan empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top