Hormati peranan media

Hormati peranan media

wanasr@hmetro.com.my

Minggu lalu heboh diperkatakan mengenai tindakan seorang menteri yang reaksinya dianggap kasar terhadap seorang wartawan dalam satu sidang media hingga tular serta menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Ada yang mengecam dan ada pula berpendapat sebaliknya.

Kisah berlaku selepas pertanyaan wakil pengamal media daripada antara agensi media utama tanah air. Entah macam mana soalan yang diajukan didakwa mendatangkan rasa tidak selesa oleh menteri terbabit. Hinggakan menteri terbabit bertindak ‘mengancam’ untuk menghubungi ketua pengarang syarikat media yang diwakili wartawan itu.

Begitupun selepas insiden itu, menteri sudah memohon maaf dan menarik balik kata-katanya itu. Ia turut diiringi dengan permohonan maaf dan keterangan mengenai penghargaan terhadap tugas pengamal media di bawah kementeriannya di beberapa platform media sosial berkaitan.

Ada yang kata, lepas lakukan kesilapan mudahnya seseorang itu minta maaf dan mereka yang menjadi mangsanya pula rela memaafkan begitu saja. Apapun kita percaya tindakan murni itu pastinya datang dengan niat yang baik. Berani mengaku atas kesilapan yang dilakukan adalah perkara yang terpuji. Begitupun, soal usik pengamal media pastinya kelompok yang dalam karier yang sama terasa. Bah kata pepatah ‘cubit paha kanan paha kiri pun terasa’. Insiden itu juga menyebabkan ada yang mahu memboikot menteri dan kementerian berkaitan. Jika benar sudah pasti impak yang diberikan cukup besar hingga boleh memberikan pengajaran kepada pelaku.

Apapun pendapat kita harus hormat. Begitupun kita juga perlu menghormati tugas dan peranan masing-masing dalam komuniti seterusnya membantu menyumbang kepada negara.

Tidak dinafikan peranan penting wartawan dalam memberi maklumat, mendidik, mengkritik secara saksama serta mewakili suara masyarakat dengan berlandaskan etika dan undang-undang negara.

Sama juga menteri yang menjalankan tugas bukan sahaja berkhidmat pada masyarakat, malah sebagai ketua serta menguruskan porfolio yang dipertanggungjawabkan.

Dalam hal membabitkan pengamal media pula apabila sesuatu tindakan seperti soalan atau laporan disekat atau menerima ancaman daripada pihak tertentu menyebabkan timbul pula persoalan di mana kebebasan media di negara itu sendiri.

Memetik laporan media sebelum ini Malaysia mencatat peningkatan dari segi kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) dengan melonjak 19 anak tangga.

Negara kita berada di kedudukan ke-88 iaitu kedua tertinggi di ASEAN di belakang Thailand yang berada di kedudukan ke-85.

Pencapaian ini menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha penubuhan Majlis Media Malaysia dan Akta Majlis Media Malaysia.

Akta Majlis Media Malaysia diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tahun ini langkah menggalakkan kewartawanan yang bebas, bertanggungjawab dan profesional.

Mengikut laporan RSF lagi, platform dalam talian turut membebankan ruang informasi dengan menyumbang kepada penyebaran kandungan yang dimanipulasi dan mengelirukan serta memperhebat penularan maklumat palsu.

Malah, lebih separuh daripada negara di dunia kini berada dalam kategori sukar atau serius bagi pengamal kewartawanan namun di sebalik kemerosotan global ini, negara kita mencatat peningkatan positif.

Malaysia mengambil langkah untuk memodenkan undang-undang berkaitan termasuk pindaan yang dilakukan pada 2024 terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperjelas beberapa istilah penting termasuk penegasan bahawa kandungan dalam bentuk sindiran, parodi atau fiksyen yang jelas tidak dikira sebagai maklumat palsu.

Bayangkan cabaran besar yang dilalui pengamal media dalam melaksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jangan lagi menekan pengamal media sehingga boleh menyebabkan mereka berdepan masalah seperti buli dan tekanan emosi.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top