Hormati waktu biarpun tidak dapat solat Jumaat

KITA faham kalau ramai yang tidak dapat solat Jumaat atas faktor PKP, tetapi sewajarnya elakkanlah dari menggunakan waktu tersebut untuk melepak dan bersantai di pasar raya. Lebih baik orang lelaki tidak berkeliaran tanpa sebab jika tak dapat solat Jumaat.

Saya setuju bagi orang-orang lelaki yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat, lebih baik mereka berada di rumah, pejabat atau dalam premis tertutup, bersiap untuk solat Zohor. 

Kita semua maklum bahawa, terkini bilangan jamaah yang dibenarkan solat Jumaat adalah terhad dalam perkembangan terkini jangkitan virus COVID-19. Saya sendiri kalau tidak solat Jumaat kerana rukhsah bermusafir, saya tidak akan bersiar-siar di luar. 

Advertisement

Bukanlah kerana haram, tetapi bagi menjaga adab, menghormati waktu Jumaat di samping mengelakkan tohmahan dan fitnah. Namun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa tidak berdosa bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat lebih 3 kali kerana keuzuran, wabak penyakit dan lain-lain darurat yang bertepatan dengan kaedah-kaedah fiqh.

Pendirian saya ini selari dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dalam Al-Kafi li al-Fatawi, bil.1674 mengenai hukum Solat Jumaat dalam suasana COVID-19.

Saya berharap salah faham yang berlaku berkaitan isu-isu agama dalam masyarakat kita dapat diharmonikan dengan pencerahan yang berhikmah. Wallahua’lam.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/5/2021