Silverstone: Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner tampil meredakan spekulasi perpindahan Max Verstappen ke Mercedes musim depan, sambil menegaskan bahawa juara dunia empat kali itu masih mahu kekal bersama pasukan walaupun kontraknya mengandungi klausa pelepasan.
Verstappen, 27, yang kontraknya bersama Red Bull sah sehingga 2028, dikaitkan dengan tawaran lumayan daripada Mercedes, malah media Itali mendakwa dia sudah bersetuju untuk berhijrah.
Namun Horner menolak dakwaan itu ketika sidang media Grand Prix (GP) Britain.
“Ada banyak khabar angin, tapi yang paling penting adalah hubungan antara pemandu dan pasukan,” kata Horner.
“Max bersama kami sejak awal kariernya. Semua kejayaan yang dia capai adalah dalam jentera Red Bull. Dia sangat percaya kepada pasukan dan orang-orang di sekelilingnya. Jadi walaupun ada spekulasi, kami rasa cukup selesa dengan situasi sekarang.”
Horner turut mengakui bahawa kontrak Verstappen mengandungi elemen ‘mekanisme prestasi’, membolehkan pelepasan sekiranya sasaran tertentu tidak dicapai.
“Itu biasa dalam kontrak mana-mana pemandu,” katanya.
“Namun niat Max adalah untuk kekal dan berlumba dengan kami hingga 2026 dan seterusnya.”
Ketika ditanya adakah beliau boleh sah mengesahkan Verstappen akan kekal hingga era peraturan baharu 2026, Horner menyifatkan ia sebagai hasrat bersama tetapi tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya.
“Max pernah nyatakan dia mahu menamatkan karier sepenuhnya bersama Red Bull. Itu sesuatu yang istimewa dan unik. Kami hormati hasrat itu dan terus fokus pada aspek yang perlu diperbaiki.”
Horner turut menyentuh peralihan besar menjelang 2026 yang menyaksikan perubahan serentak pada casis dan unit kuasa Formula Satu.
“Tiada siapa yang boleh jamin siapa paling hebat selepas 2026. Lompat ke jentera Mercedes pun belum tentu satu keputusan lebih baik.”
© New Straits Times Press (M) Bhd