Pasukan kecemasan Israel bertugas di lokasi serangan peluru berpandu Iran di Ramat Gan, dekat Tel Aviv. AFP
JERUSALEM – Sebuah hospital utama di selatan Israel dilaporkan terkena serangan peluru berpandu Iran pada Khamis pagi ketika tentera rejim mendakwa berdepan serangan besar-besaran dari Teheran.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Israel di platform X, peluru berpandu Iran mengenai secara langsung Hospital Soroka yang terletak di Beersheba, selatan negara itu.
Jurucakap hospital berkata, terdapat kerosakan pada kemudahan perubatan tersebut termasuk kerosakan besar di beberapa kawasan.
Pasukan pengurusan kini sedang menilai tahap kerosakan dan kecederaan. Orang awam diminta tidak datang ke hospital buat masa ini.
Soroka dikenali sebagai hospital yang merawat ramai tentera Israel yang cedera dalam operasi ketenteraan di Gaza sejak perang bermula.
Hospital itu juga berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi wilayah selatan Israel.
Dalam serangan sama, pihak berkuasa kecemasan Israel turut melaporkan peluru berpandu mengenai kawasan berhampiran kediaman di Tel Aviv.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Bunyi letupan kuat turut didengar di Tel Aviv dan Baitulmaqdis sekitar jam 7.10 (pagi waktu tempatan) apabila sistem pertahanan udara Iron Dome diaktifkan.
Ia disifatkan sebagai letupan paling kuat sejak konflik dengan Iran bermula pada Jumaat lalu.
Tentera Israel memaklumkan bahawa ‘berpuluh-puluh peluru berpandu balistik’ telah dilancarkan oleh Iran.
Serpihan peluru juga jatuh ke atas tiga bangunan kediaman di tengah negara itu.
Siren amaran turut berbunyi dua kali di Tel Aviv, namun loceng ‘selamat’ dibunyikan setengah jam kemudian. – AFP