Hospital makin kritikal? KKM perkukuh kerjasama, pastikan rakyat Johor terima rawatan adil

Hospital makin kritikal? KKM perkukuh kerjasama, pastikan rakyat Johor terima rawatan adil

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Johor bersetuju memperkukuh kerjasama dalam usaha menambah baik sistem kesihatan awam, termasuk pengisian segera jawatan kosong serta menaik taraf fasiliti di tiga hospital utama di negeri itu.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang berlangsung di Ibu Pejabat KKM di sini hari ini.

   

KKM perkukuh kerjasama dengan kerajaan Johor

Onn Hafiz berkata, perbincangan tersebut memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai yang kini berdepan cabaran dari segi kemudahan dan kekurangan tenaga kerja.

“Pertemuan ini juga mencapai persetujuan bahawa Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana perlu diperkukuh serta ditambah tenaga kerja dan peralatan sebelum dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan.
“Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih teratur, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri dan KKM sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti, selain menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.

Artikel lain:  KKM laksana bayaran BIPPW, bukti komitmen hargai kepakaran tempatan – Dr Dzulkefly

Terdahulu, Onn Hafiz mendedahkan Johor kini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin kritikal, termasuk situasi di mana seorang jururawat terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, jauh melebihi nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, antara perkara lain yang dibincangkan ialah keperluan peningkatan keupayaan fasiliti dan persiapan operasi beberapa kemudahan kesihatan baharu yang kini berada di fasa akhir pelaksanaan.

“KKM kekal komited memastikan akses rawatan kesihatan yang adil, berkualiti dan saksama untuk seluruh rakyat Malaysia, termasuk penduduk Johor.
“Kerjasama antara pelaksana di peringkat negeri dan persekutuan akan terus diperkukuh menerusi penyelarasan yang lebih sistematik, tersasar dan berfokus kepada impak langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya pendekatan “whole-of-government” antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menjayakan agenda reformasi sistem kesihatan negara secara menyeluruh.

Sumber: FB Dr Dzulkefly Ahmad 

Scroll to Top