LUMUT: Hospital Seri Manjung memerlukan pembesaran segera susulan kadar penggunaan katilnya yang mencecah 91 peratus, sekali gus antara yang tertinggi di negeri ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selepas menyantuni pesakit di hospital berkenaan sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026, hari ini.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kepesatan kegiatan ekonomi di daerah Manjung termasuk perkembangan kawasan perindustrian dijangka meningkatkan jumlah penduduk, sekali gus menambah keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
Katanya, meskipun sebuah bangunan baharu telah dibina dan mula beroperasi, kemudahan sedia ada itu masih belum mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat
“Seperti yang kita sedia maklum, hospital ini telah beroperasi lebih 30 tahun sejak tahun 1995 dan unjuran yang dibuat oleh kerajaan pada waktu itu melihat dari segi penduduk daerah Manjung.
“Jadi tentunya selepas 30 tahun, keadaan di hospital ini memerlukan pembesaran tambahan lagi daerah Manjung merupakan daerah yang paling pesat berkembang dari segi kegiatan ekonomi.
“Di sini, kita akan mempunyai Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) selain Kawasan Perindustrian Kampung Acheh yang terus berkembang dan beberapa industri besar yang akan menambahkan lagi bilangan penduduk di Manjung,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat memberi perhatian serius terhadap keperluan pembesaran hospital berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu juga pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke daerah Manjung tahun lalu, termasuk komitmen untuk meneliti keperluan tambahan fasiliti dan tenaga kerja.
“Saya berharap di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan memberi sokongan terhadap keperluan Hospital Seri Manjung ini. Bagaimanapun, usaha ini bukan bermakna kita meminggirkan hospital lain di Perak.
“Saya memahami keutamaan yang perlu mereka berikan kepada hospital-hospital lain. Paling utama ialah keutamaan yang diberikan untuk Hospital Seri Manjung tanpa menafikan keperluan di hospital-hospital lain,” katanya.
Dalam lawatan itu, Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi diiringi Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr. Gridhari Nath Gingaiah melawat wad perubatan dan mengedarkan sumbangan kepada pesakit, pelawat dan warga hospital. – UTUSAN



