mdroji@nstp.com.my
KOTA SAMARAHAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka hospital medan di Labuan, berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di pulau berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan teknikal ATM khususnya dari Kor Kesihatan Diraja akan digerakkan ke Labuan Selasa ini untuk meneliti keperluan penubuhan hospital medan itu.
Beliau berkata, mengikut perancangan, hospital medan berkenaan dijangka mula beroperasi 27 Jun ini.
“Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Labuan sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan kita terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan di pulau itu.
“Hospital medan di Labuan itu nanti akan mempunyai 90 katil dan dilengkapi empat katil unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program vaksinasi pandu lalu Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Ismail Sabri berkata, lapan doktor dibantu 30 anggota paramedik ATM akan digerakkan ke Labuan bagi mengendalikan hospital yang ditubuhkan bersama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia ( MERCY Malaysia) itu.
“Hospital medan perlu ditubuhkan di Labuan kerana kini seluruh pulau itu sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 6,828 kes positif direkodkan di pulau itu dengan hari ini sahaja sebanyak 185 kes baharu dilaporkan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, ATM akan menggerakkan aset serta anggotanya bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Sarawak mempercepat program vaksinasi di pedalaman.
“ATM akan membantu menghantar vaksin serta bantuan anggota untuk melaksanakan vaksinasi yang akan digerakkan dengan aset seperti helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kenderaan darat dan juga melalui sungai.
“Pelaksanaan ‘Combat Medic Vaccination Team’ (CMVT) ini bantuan yang ATM tawarkan kepada kerajaan Sarawak dalam usaha mempercepat program vaksinasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai permulaan CMVT akan digerakkan ke Ba’kelalan di pedalaman Limbang, Sang Apau, Long Busang dan Long Unai di Kapit serta di Nanga Ngungun di Kanowit.
Mengenai program vaksinasi pandu lalu di Kem Muara Tuang, beliau berkata, ia akan memberi kemudahan vaksinasi kepada 7,023 anggota tentera dan keluarga mereka serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang bertugas di Kuching.
“Program itu akan dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan. Selain di Kem Muara Tuang, program sama turut dilaksanakan di Kem Oya di Sibu.
“Selain anggota tentera, keluarga dan staf awam, program vaksinasi pandu lalu di kem tentera itu juga memberi kemudahan kepada veteran tentera dan isteri mereka serta orang awam yang berada berdekatan dengan kem,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




