Hospital Melaka dapat kontena jenazah pesakit Covid-19

AYER KEROH –  Selepas menyerahkan sumbangan kontena kepada lima hospital Covid-19, syarikat berasaskan perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd menyumbang keperluan yang sama kepada Hospital Besar Melaka.

Pengasas Maritime Network, Datuk Seri R Jayendran sebelum ini menyerahkan kontena untuk dijadikan tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kulim.

Kata Jeyendran kepada MalaysiaGazette, sebelum ini syarikat itu hanya terlibat secara ‘kecil-kecilan’ dalam memberikan sumbangan pandemik berbentuk bakul makanan serta keperluan lain termasuk wang ringgit.

Tetapi kini sumbangan kontena menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.

“Kontena sejuk beku dan serba lengkap ini bersaiz 3.71 meter persegi (40 kaki) mampu memuatkan hingga 30 jenazah pada satu-satu masa.

“Kadar kematian sejak kebelakangan ini bukanlah sesuatu yang kita boleh ramal sebaliknya angkanya langsung tiada penurunan, ini juga menyebabkan hospital kita sesak dan kemudahan kontena semakin terhad.

“Saya mula tampil membantu selepas dihubungi oleh beberapa kenalan hospital, masing-masing memberitahu saya tentang apa sebenarnya yang dihadapi dan saya sendiri turun melihat sendiri,” katanya.

Turut bersama ketika majlis penyerahan kontena ke Hospital Melaka ialah Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman, Ketua Jabatan Forensik Hospital Melaka, Dr Haryanti Sara Azmeen Mohd Razali dan Timbalan Pengarah III Hospital Melaka, Dr Mohd Najib Khamil.

Dalam pada itu kata Jeyendran, harga kontena yang hampir RM40,000 itu telah siap dengan sistem sejuk beku  dan boleh terus digunakan, sekali gus memudahkan pihak  pengurusan hospital dalam mengendalikan jenazah.

“Kita sedang menyiapkan satu lagi kontena untuk diberikan kepada hospital di Johor dalam seminggu dua lagi, tunggu kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain daripada menyumbang, kita juga dapat meringankan bebanan yang sedang ditanggung oleh kerajaan sendiri. Lebih ramai tampil, kuranglah bebanan serta tanggungan ini,” katanya yang melahirkan harapan agar pandemik ini segera berakhir. -MalaysiaGazette