Hospital Tawau bakal mula perkhidmatan kardiologi

Hospital Tawau bakal mula perkhidmatan kardiologi

am@hmetro.com.my

Tawau: Hospital Tawau bakal menjadi pusat rujukan utama bagi pesakit jantung di pantai timur Sabah apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pengoperasian Makmal Invasif Kardiologi (ICL) pertama di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif baharu itu adalah penambahbaikan kepada sistem rujukan sedia ada memandangkan sebelum ini tiada perkhidmatan kardiologi di wilayah berkenaan.

Beliau berkata, ICL berfungsi menyediakan rawatan jantung termasuk angiogram, angioplasti dan prosedur berkaitan, sekali gus mengurangkan masa menunggu pesakit.

“Kita telah mengenal pasti lokasi, ekosistem, infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan di sini.

“Insya-Allah, operasi akan dapat dimulakan dalam tempoh terdekat,” katanya selepas meninjau Makmal Kardiak Invasif dan Perasmian Inisiatif Pharmacy Park & Take, di Hospital Tawau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkhidmatan itu mensasarkan ‘door-to-ECG’ kurang 10 minit, iaitu masa dari pesakit tiba di hospital sehingga ujian Electrocardiogram (ECG) dilakukan bagi mengesan serangan jantung dan menentukan rawatan segera.

Selain itu katanya, sasaran ‘door-to-balloon’ ialah kurang 90 minit, iaitu tempoh dari pesakit tiba di hospital hingga prosedur angioplasti dengan belon dilakukan untuk membuka saluran darah tersumbat, selaras standard antarabangsa yang menekankan setiap kelewatan boleh meningkatkan risiko kematian.

“Ini satu perkhidmatan kardiologi yang sangat baik, sangat pantas, yang dinanti-nantikan oleh warga Sabah khususnya di Wilayah Pantai Timur ini.

“Kita mahu memastikan pesakit jantung di Pantai Timur Sabah menerima rawatan segera dan efektif tanpa perlu dirujuk ke hospital di luar kawasan,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top