Mississippi, Amerika Syarikat: Saingan Sanderson Farms 2024 yang memasuki pusingan kedua menyaksikan pemain golf professional tuan rumah, Beau Hossler menguasai lapangan Country Club of Jackson.
Hossler, 29, mencatatkan 64 pukulan atau lapan di bawah par untuk mendahului pesaing lain.
Menurutnya, dia perlu mengekalkan tumpuan dan memastikan momentum itu kekal hingga di lubang terakhir.
“Saya bertambah yakin dalam setiap pukulan. Saya perlu kekalkan konsistensi ini hingga ke hari terakhir pertandingan.
“Namun bukan mudah kerana pencabar lain juga mempunyai peluang dan saya perlu fokus setiap saat,” katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam PGA Tour, Hossler tidak pernah menjuarai mana-mana saingan dan kemungkinan berpeluang menamatkan badi itu di kejohanan berkenaan.
Saingan Sanderson Farms 2024 dianggap antara kejohanan tertua dan paling mencabar sekali gus medan terbaik buat pemain golf profesional dunia menguji kemampuan masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




