
Presiden ke-40 AS cedera parah akibat serangan tembakan pada 1981. – Foto Agensi
NEW YORK – Sejarah kembali berulang apabila Hotel Washington Hilton pernah menjadi lokasi cubaan membunuh Presiden ke-40 AS, Ronald Reagan yang cedera parah ketika kejadian pada 1981.
Kira-kira 45 tahun lalu, Reagan ditembak pada bahagian rusuk di kaki lima hotel berkenaan ketika beliau sedang berjalan menuju ke kereta limusinnya.
Peluru berkaliber.22 menembusi paru-parunya dan beliau segera dikejarkan ke Hospital Universiti George Washington serta menjalani pembedahan selama dua jam.
Penyerang dikenali sebagai John W Hinckley Jr turut mencederakan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, James Brady, seorang ejen Perkhidmatan Rahsia dan seorang anggota polis.
Ia merupakan percubaan membunuh pertama terhadap Presiden dalam tempoh hampir setengah dekad selepas cubaan sama dilakukan ke atas Presiden ke-38 AS, Gerald Ford di luar St Francis Hotel pada 1975.
Reagan yang baru setahun memegang jawatan kemudiannya menyampaikan ucapan di Kongres sebulan selepas insiden tersebut dan tahap sokongan terhadapnya dilaporkan meningkat.
Hotel berbentuk M berusia enam dekad yang terletak di kawasan kejiranan Dupont Circle itu telah sekian lama menjadi lokasi penganjuran acara makan malam petugas media Rumah Putih dan majlis tahun berprofil tinggi lain. – Agensi



