Howe akui Newcastle berbeza tanpa Isak

Howe akui Newcastle berbeza tanpa Isak

Bournemouth: Eddie Howe mengakui Newcastle bakal tampil dengan corak serangan berbeza musim ini tanpa kelibat Alexander Isak selepas seri 0-0 ketika bertemu bekas kelabnya, Bournemouth, semalam.

Ia adalah keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut di tempat lawan buat skuad kendalian Howe, dan pengendali itu menegaskan pemain lain perlu menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan ditinggalkan Isak, yang berpindah ke Liverpool.

“Tiga perlawanan 0-0 di tempat lawan untuk kami, ia sesuatu yang jarang berlaku dengan gaya menyerang kami.

“Saya fikir secara semula jadi kami akan menjadi pasukan yang berbeza dari segi serangan musim ini tanpa Alex,” kata Howe.

Selepas Isak berhijrah dengan yuran perpindahan £125 juta (RM708.1 juta), Newcastle segera mendapatkan Yoane Wissa yang dijangka terlepas aksi selama sebulan akibat kecederaan serta Nick Woltemade, yang mengetuai jentera serangan di Stadium Vitality.

“Saya fikir Nick bermain dengan sangat baik hari ini (semalam). Dia sangat berkesan dengan kawalan bola yang bagus.

“Tetapi kami perlu lebih mengenali gaya permainnya serta dapatkan lebih banyak pemain membantu di sekelilingnya kerana dia sangat bagus dalam aspek itu.

“Saya berharap prestasi kami terus meningkat menjadi pasukan berbeza, mudah-mudahan lebih baik, tetapi ia mungkin mengambil sedikit masa,” kata Howe.

Dari sudut positif, Howe boleh berbangga dengan empat perlawanan tanpa bolos daripada lima perlawanan musim ini, sesuatu yang bukan mudah menentang Bournemouth yang sedang dalam prestasi terbaik, walaupun mereka hanya mencatat dua percubaan tepat berbanding satu untuk Newcastle.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top