Howe harap Dubravka kekal di St James Park

Howe harap Dubravka kekal di St James Park

London: Pengurus Newcastle, Eddie Howe, masih berharap penjaga gol Martin Dubravka akan kekal di St James’ Park melepasi jendela perpindahan Januari ini.

Pemain antarabangsa Slovakia berusia 35 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Pro Arab Saudi, Al Shabab, apabila memasuki enam bulan terakhir kontraknya bersama Magpies.

Dubravka hanya melepaskan dua gol dalam tujuh perlawanan dalam semua kejohanan – kesemuanya dimenangi – ketika menggantikan Nick Pope yang cedera, dalam satu tempoh di mana Newcastle semakin menghampiri tempat di final Piala Liga dan berada di tangga kelima dalam Liga Perdana Inggeris.

“Martin berada dalam situasi yang sukar,” kata Howe.

“Seperti mana-mana pemain yang kontraknya akan tamat pada musim panas, bagi setiap pemain yang pernah saya bekerja dengannya, pasti ada rasa keraguan itu.

“Dia secara semula jadi ingin mendapatkan kesimpulan mengenai masa depannya, sama ada itu kontrak baru dengan kami, atau apa sahaja hasilnya. Tetapi dia sudah bermain dengan sangat baik dan saya sangat berpuas hati dengan prestasinya.

“Dia lebih daripada memainkan peranannya dalam siri perlawanan kami baru-baru ini. Sekali lagi menentang Arsenal (kemenangan 2-0 pada pusingan pertama separuh akhir Piala Liga), saya rasa dia sangat, sangat baik, jadi harapnya kami boleh mencapai persetujuan dengannya.”

Dubravka dilihat sebak selepas perlawanan menentang Arsenal, yang disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai ucapan perpisahan kepada Newcastle.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top