Howe masih selamat, Newcastle fokus 7 aksi terakhir

Howe masih selamat, Newcastle fokus 7 aksi terakhir

London: Newcastle United tidak bercadang untuk menukar pengurus Eddie Howe buat masa ini, meskipun prestasi pasukan dilihat merosot sejak kebelakangan ini.

Ketua pegawai eksekutif kelab, David Hopkinson menegaskan kedudukan Howe kekal selamat ketika ini dan tiada sebarang perbincangan mengenai penggantian dibuat.

“Eddie pengurus kami. Kami jangka penamat musim yang baik dan soal masa depan akan dibincangkan apabila tiba waktunya,” katanya.

Newcastle sebelum ini tersingkir dari Liga Juara-Juara (UCL) selepas dibelasah Barcelona 2-7, sebelum tewas kepada seteru setempat Sunderland yang menyaksikan mereka kini berada di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris.

Namun Hopkinson menegaskan fokus utama ketika ini adalah baki tujuh perlawanan musim ini, bukan spekulasi mengenai perubahan pengurusan.

“Kami tidak mencari perubahan ketika ini. Kami juga tidak berbincang mengenai perkara itu. Fokus kami adalah tujuh perlawanan terakhir, bukan apa yang mungkin berlaku pada musim panas,” katanya.

The Magpies kini ketinggalan tujuh mata di belakang kelompok lima terbaik yang berpotensi melayakkan pasukan ke UCL musim depan.

Dalam masa sama, beberapa tonggak seperti Sandro Tonali, Bruno Guimaraes dan Tino Livramento dikaitkan dengan perpindahan keluar.

Bagaimanapun, Hopkinson memberi bayangan kelab tidak akan mudah melepaskan pemain utama seperti yang berlaku kepada Alexander Isak sebelum ini.

“Apa yang saya tahu, mana-mana pemain yang keluar perlu mengikut syarat kami. Bagi saya, Isak adalah satu penjualan yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top