HUAWEI melancarkan tiga peranti boleh pakai baharu di Malaysia di bawah kempen ‘Now Is Your Spark’, sekali gus mencetuskan era baharu gaya hidup terhubung.
Tiga produk tersebut adalah Huawei Watch Fit 5 dan Fit 5 Pro, Huawei Watch Ultimate Design Royal Gold Edition serta Huawei FreeClip 2 dalam warna baharu ungu Berry yang disasarkan kepada pengguna moden yang mahukan fungsi pintar bersama rekaan premium.
Huawei Watch Fit 5
Jam tangan pintar ini dilengkapi paparan 1.82 inci, manakala edisi Pro menampilkan skrin lebih besar berukuran 1.92 inci dengan bezel ultra nipis serta tahap kecerahan sehingga 3,000 nits untuk penglihatan lebih jelas di luar bangunan.
Edisi Pro menggunakan bezel aloi titanium gred aeroangkasa bersama kaca nilam 2.5D yang tahan lasak, manakala edisi White menampilkan teknologi Aerospace-Grade Nanoceramic Metal yang menghasilkan lapisan perlindungan seakan seramik berketahanan tinggi.
Huawei turut mengetengahkan aspek kelestarian menerusi tali edisi Silver yang diperbuat hampir 100 peratus daripada nilon kitar semula dengan ciri antibakteria dan kalis air.
Dari sudut kesihatan, Huawei Watch Fit 5 Pro memperkenalkan Kajian Risiko Diabetes Pertama di Malaysia pada jam tangan pintar boleh pakai menerusi analisis isyarat vaskular berasaskan PPG tanpa invasif bagi membantu pengguna memantau potensi risiko diabetes.
Jam tangan pintar itu turut dilengkapi pensijilan ECG dan Analisis Aritmia Gelombang Nadi yang diiktiraf CE dan Lembaga Peranti Perubatan Malaysia (MDA), selain ciri pengesanan kekerasan arteri, TruSleep 5.0, analisis HRV serta penjejakan kesejahteraan emosi dan kesihatan wanita.
Untuk pengguna aktif, siri ini menawarkan pengalaman khas sukan raket menerusi Goodshot untuk badminton, PickleX bagi pickleball dan Tennix untuk tenis.
Edisi Pro turut menyokong aktiviti luar seperti larian denai, golf dan selam bebas sehingga 40 meter selain navigasi laluan dan peta lebih 17,000 padang golf global.
Huawei turut memperkenalkan ciri mini-senaman dengan lebih 30 gerakan melibatkan 10 bahagian badan yang disertai maskot panda interaktif bagi menggalakkan pengguna lebih aktif sepanjang hari.
Siri ini menyokong peranti iOS dan Android, menawarkan bateri sehingga 10 hari, storan 64GB serta sokongan pembayaran QR Touch ‘n Go.
Ia ditawarkan pada harga bermula RM799 dan kini tersedia untuk pra-tempahan bersama baucar diskaun sehingga RM150 serta hadiah percuma bernilai sehingga RM585, manakala edisi Pro dijual pada RM1,099.
Huawei Watch Ultimate Design Royal Gold Edition
Jam tangan pintar ini dibangunkan bersama pereka barang kemas antarabangsa, Francesca Amfitheatrof dan diinspirasikan daripada keindahan musim bunga.
Ia menampilkan 99 berlian semula jadi, lengkungan berinspirasikan Fibonacci dan kaca nilam potongan berlian yang memberikan pantulan cahaya dari pelbagai sudut.
Rekaan tersebut direka untuk dipakai dalam suasana profesional mahupun acara sosial sambil mengekalkan fungsi kesejahteraan pintar.
Peranti ini dijual pada harga RM17,999 dan tersedia untuk pra-tempahan.
Pelanggan turut ditawarkan hadiah percuma dan perlindungan premium bernilai sehingga RM5,143 termasuk Huawei Care selama dua tahun, perlindungan kerosakan tidak sengaja serta penggantian bateri percuma.
Huawei FreeClip 2 Berry Purple
Melengkapkan pelancaran ialah Huawei FreeClip 2 dalam warna baharu ungu Berry yang membawa pembaharuan kepada kategori fon telinga open-ear Huawei.
Peranti audio itu menggunakan reka bentuk Airy C-Bridge yang memberikan keselesaan ringan sambil membolehkan pengguna kekal peka terhadap persekitaran sekeliling.
FreeClip 2 sesuai digunakan ketika menerima panggilan semasa perjalanan, mendengar muzik ketika bersenam atau bertukar sambungan antara komputer riba dan telefon pintar sepanjang hari bekerja.
Peranti ini ditawarkan pada harga RM699 selepas rebat dan kini tersedia untuk pembelian bersama hadiah percuma bernilai sehingga RM248 termasuk perlindungan kehilangan selama setahun dan waranti APAC selama setahun.-UTUSAN




