NEW DELHI – Hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan India kini berada pada tahap paling rendah dalam beberapa dekad, walaupun hubungan peribadi antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, kelihatan akrab.
Kembalinya Trump ke Rumah Putih pada Januari lalu disambut baik oleh sebilangan penganalisis di India, dengan harapan hubungan mesra beliau dengan Modi akan menjamin kestabilan dalam hubungan dua hala. Namun, hanya enam bulan kemudian, hubungan itu kini tegang akibat tarif ekonomi, tekanan geopolitik, dan perbezaan hala tuju dasar luar.
Trump telah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap import dari India, susulan tindakan New Delhi meneruskan pembelian minyak mentah dari Rusia sesuatu yang disifatkan Trump sebagai menyumbang kepada pembiayaan perang Rusia di Ukraine.
“Mereka (India) tidak peduli berapa ramai yang mati di Ukraine kerana perang Rusia.
“Sebab itu, saya akan menaikkan tarif terhadap India dengan lebih tinggi lagi,” kata Trump
Perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara terus gagal dimuktamadkan. AS bertegas untuk mendapatkan akses pasaran lebih luas serta perlindungan kukuh untuk eksport teknologi, farmaseutikal dan pertaniannya. India pula enggan tunduk kepada tekanan yang dikatakan mampu menjejaskan perusahaan kecil dan petaninya.
Bekas diplomat India, Anil Trigunayat berkata, India tidak tunduk kepada kehendak Washington kerana perlu melindungi ekonomi domestik.
“Separuh rakyat India bergantung kepada sektor pertanian. India perlu utamakan kepentingan nasional,” katanya.
Ketegangan memuncak apabila AS cuba menekan Rusia untuk mengakhiri perang di Ukraine dan melihat India sebagai penghalang dengan meneruskan hubungan strategik bersama Moscow.
India merupakan antara pelanggan utama minyak dan senjata Rusia. Malah, selepas serangan penuh Rusia ke atas Ukraine pada 2022, India meningkatkan import minyak Rusia dengan harga diskaun. Modi juga dianugerahkan penghormatan tertinggi Rusia, Order of St. Andrew, oleh Presiden Vladimir Putin pada 2024.
India dijangka tidak akan berundur daripada dasar pro-Rusia dan autonomi strategiknya walaupun dikenakan tekanan ekonomi. Delegasi tinggi India termasuk Penasihat Keselamatan Negara dan Menteri Luar dijadual bertemu pemimpin Rusia dalam masa terdekat.
“Jika AS dan Eropah tidak sanggup serah hak strategik mereka, mengapa pula India perlu berbuat demikian?” soal Profesor Jayati Ghosh dari Universiti Massachusetts.
Dalam jangka panjang, masa depan hubungan AS-India bergantung kepada hala tuju perang di Ukraine dan sama ada tekanan Trump akan reda atau meningkat.-Agensi