norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 65, menyifatkan hubungannya dengan anak-anak tidak berubah dan kekal baik sepanjang hayat kerana mereka adalah darah dagingnya.
Menurut ND Lala atau nama sebenar Amir Amzah, doa dan kasih sayang terhadap empat cahaya matanya yang masing-masing sudah besar dan mempunyai kehidupan sendiri masih seperti dulu sebagai bapa dan anak.
“Anak-anak adalah DNA saya. Keadaan itu tidak akan pernah berubah pun. Alhamdulillah, secara peribadinya mereka adalah anak-anak saya dan kekal begitu selamanya.
“Sebagai bapa dan orang tua, anak-anak ini lahir daripada kasih sayang saya. Mereka adalah sebahagian daripada diri saya. Mana-mana ibu bapa pun akan menyayangi anak mereka tanpa syarat.
“Begitu juga, akan sentiasa mendoakan mereka (anak-anak) tanpa batas hingga akhir hayat saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab di Restoran Saloma, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Diari YB dan Buah Hati Dikebas Orang ini bagaimanapun memberitahu, beliau sebenarnya lebih memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai hal peribadi, terutama hubungan dengan anak-anak.
Katanya, ia untuk mengelakkan sebarang salah faham, selain beliau selesa hanya memberi tumpuan kepada perkongsian berkaitan kerjaya seni sahaja.
“Saya memang tidak mahu membuka ruang berkongsi mengenai peribadi seperti keluarga. Sejak dari dulu lagi, ketika pembabitan saya dalam kerjaya (seni) ini kerana tidak mahu mengguris perasaan mana-mana pihak.
“Bukan apa, saya tak nak perkongsian atau kenyataan yang diberikan itu akan menjadi sorotan. Maka, lebih selesa untuk saya hanya berkongsi hal-hal membabitkan kerjaya.
“Saya sendiri juga yang memilih untuk tidak memberi ‘respons’ (maklum balas) terhadap hal peribadi supaya tidak menyinggung atau melukakan mana-mana pihak. Kalau orang mahu mentafsir, itu hak masing-masing.
“Cuma, saya tegaskan bahawa segala jawapan saya tentang hal peribadi sebenarnya sudah pun pernah dijelaskan dalam kenyataan yang saya kongsikan sebelum ini di media sosial pada 2023 lalu,” katanya.
Kata pelakon filem Jejaka Perasan itu lagi, kenyataan berkenaan tidak akan pernah berubah sampai bila-bila setiap kali beliau ditanya mengenai hal berkaitan peribadi dan anak-anaknya.
ND Lala pernah mendirikan rumah tangga dengan Fauziah Sarman pada 1989, namun mereka bercerai pada 2 Ogos 2023 dan dikurniakan anak iaitu penyanyi Shila Amzah, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Kini, ND Lala bahagia bersama isteri, Datin Siti Munirah Abdul Ghani dan Fauziah juga sudah bertemu jodoh baharu dengan Brigedier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Saleh pada 22 November tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




