Hubungan dua hala Malaysia-Bahrain berpotensi besar untuk ruang kerjasama-Agong

Hubungan dua hala Malaysia-Bahrain berpotensi besar untuk ruang kerjasama-Agong

Manama : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah hubungan diplomatik dan jalinan persahabatan yang erat antara Malaysia dengan Bahrain berpotensi untuk ruang kerjasama yang lebih besar.

Sultan Ibrahim bertitah Bahrain adalah rakan strategik penting bagi Malaysia dan berharap dapat diperkukuh dalam aspek ekonomi, seiring dengan Visi Ekonomi Bahrain 2030.

“Bahrain dan Malaysia saling menghormati dan mempunyai semangat persaudaraan, berkongsi nilai, aspirasi serta komitmen terhadap keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat.

“Saya harap lawatan negara ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam titah ucapan sebelum diraikan pada Majlis Santapan Negeri yang dianjurkan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir malam tadi (Jumaat), bersempena dengan Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke negara itu selama tiga hari.

Sementara itu, Raja Hamad turut menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan sudah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian iaitu bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.

“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan, pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.

“Tuanku dan negara Tuanku sudah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain dan sebagai penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang,” titah Raja Hamad.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, Zallaq malam tadi disambut Raja Hamad, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa serta keluarga diraja Bahrain.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Seri Paduka Baginda tiba di sini pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.

Lawatan ini adalah lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia–Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top