ULASAN Hasmi Hashim bertajuk “UMNO usung ular dalam selimut” sememangnya menarik dibaca, terutama apabila dinilai sebagai sebuah karya polemik oleh seorang seniman dalam bidang seni lukis, lirik dan puisi.
Namun begitu, apabila tulisan itu dikemukakan sebagai analisis politik, kedudukan penulisnya sebagai penggiat PKR menjadikan hujah yang dibawa berat sebelah, sarat emosi dan jauh daripada penilaian sejarah yang objektif.
Penggunaan metafora seperti “ular”, “darah”, “racun” dan “mata gergaji” bertujuan membina persepsi bahawa Pas sentiasa memperalat, melemahkan dan akhirnya memusnahkan rakan politiknya.
Masalahnya, gambaran dramatik itu tidak disokong oleh pembacaan sejarah yang menyeluruh. Ia menyimpulkan setiap keruntuhan gabungan kepada satu sebab mudah, iaitu kerana Pas khianat.
Hakikat bahawa Pas terus bertahan atau menjadi lebih kuat selepas sesebuah gabungan berpecah bukan bukti bahawa parti itu merancang untuk “menelan” rakannya.
Pas memiliki organisasi akar umbi, jaringan kepimpinan dan penyokong ideologi yang lebih stabil berbanding sesetengah parti yang bergantung kepada seorang tokoh, gelombang sementara atau krisis dalaman parti lain. Kelangsungan Pas ialah bukti daya tahan organisasinya.
Pertama, kerjasama Pas dengan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) dari 1973 hingga 1977 tidak berakhir kerana Pas bertindak meninggalkan gabungan tersebut. Pas menyertai kerajaan campuran pada 1 Januari 1973 dan BN pada 1 Jun 1974 selepas dipelawa oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Krisis tercetus di Kelantan pada 1977 susulan pertikaian terhadap Menteri Besar Datuk Mohamed Nasir, undi tidak percaya terhadap beliau dan tindakan kerajaan Persekutuan membawa Rang Undang-Undang Darurat Kelantan pada 8 November 1977.
Dua belas ahli Parlimen Pas menentang rang undang-undang berkenaan kerana mereka terikat dengan keputusan parti untuk mempertahankan kerajaan Kelantan. Pas kemudiannya diberi pilihan untuk mengambil tindakan terhadap wakil-wakil rakyat tersebut atau dianggap terkeluar daripada BN.
Bagaimana mungkin Pas memecat hampir seluruh barisan kepimpinan kanannya hanya kerana mereka mematuhi keputusan parti? Fakta asasnya jelas, iaitu Pas tidak meninggalkan BN, sebaliknya Pas disingkirkan selepas enggan tunduk dalam isu yang melibatkan mandat politik dan kerajaan negerinya.
Kedua, pemutusan hubungan antara Pas dan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada pada 14 Julai 1996 juga tidak wajar dibebankan kepada Pas.
Semangat 46 mengalami kemerosotan selepas Pilihan Raya Umum 1995 sebelum dibubarkan pada 6 Oktober 1996. Tengku Razaleigh Hamzah dan sebahagian besar pengikutnya kemudian kembali menyertai UMNO.
Sebelum itu, hubungan Pas-Semangat 46 telah terjejas apabila Semangat 46 menyokong calon lawan Pas, iaitu BN, dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Asahan pada 22 Jun 1996.
Dari perspektif Pas, tindakan menyokong lawan politik sendiri sebelum kembali kepada UMNO merupakan pelanggaran nyata terhadap kepercayaan dalam APU.
Oleh itu, dakwaan bahawa Pas “meracun” atau menghancurkan Semangat 46 terbalik daripada urutan peristiwa sebenar.
Ketiga, dalam Barisan Alternatif (BA), DAP sendiri mengambil keputusan keluar pada 22 September 2001 kerana tidak bersetuju dengan pendirian Pas mengenai negara Islam.
Pas menganggap perjuangan Islam sebagai identiti dan tujuan asas penubuhannya manakala DAP mempertahankan kerangka politik sekularnya.
Pas tidak boleh dituduh menikam DAP hanya kerana enggan menggugurkan prinsip terasnya demi memastikan sebuah gabungan terus hidup.
Apa yang berlaku ialah pertembungan ideologi yang tidak dapat didamaikan. DAP berhak mempertahankan pendiriannya tetapi Pas juga mempunyai hak yang sama.
Dalam keadaan itu, DAP yang memilih untuk keluar daripada BA, bukannya Pas yang mengusir DAP.
Keempat, keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) pada 2015 juga bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas pada 23 Mac 2015 berhubung usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Penyertaan Pas dalam mana-mana kerjasama politik tertakluk kepada konsep tahaluf siyasi yang digariskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.
Antara enam perkara yang menjadi syarat kepada penyertaan Pas di dalam adalah bahawa “tahaluf (kerjasama) mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam”.
Turut dinyatakan ialah “Tahaluf dengan parti non-Islamik atau pihak non-Islamik perlu dikaji semula sekiranya ia boleh menyebabkan berlakunya halangan kepada penegakan negara Islam, kedudukan orang Islam tergugat atau disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam.
Oleh itu, apabila kerjasama itu disyaratkan supaya Pas tidak melaksanakan agenda syariahnya maka asas kepada kerjasama tersebut dengan sendirinya telah terjejas.
Sama juga selepas itu, belum pun sempat Majlis Syura Ulama Pas bermesyuarat bagi membincangkan kelulusan satu usul yang dikemukakan di dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 pada 6 Jun 2015 yang mendesak agar diputuskan hubungan dengan DAP, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 15 Jun 2015 dengan segera memutuskan bahawa “usul di Muktamar Pas itu telah membunuh PR, justeru kini tiada lagi PR”.
Ini menunjukkan bahawa perpecahan tersebut bukan tindakan unilateral Pas. Kedua-dua parti memilih untuk mempertahankan prinsip masing-masing, tetapi amat tidak adil apabila Pas dilabel sebagai pengkhianat sedangkan DAP terlebih dahulu memutuskan hubungan dan mengisytiharkan berakhirnya gabungan.
Hubungan Pas-PKR pula merosot apabila PKR menyokong Amanah, parti serpihan Pas, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016.
PKR malah turut bersama DAP menentang usaha Pas berkaitan peluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
Dari sudut Pas, tindakan membantu parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpinnya untuk menentang Pas bukan lagi perbezaan kecil, tetapi pelanggaran langsung terhadap semangat kerjasama.
Kelulusan usul 21 Pas Kawasan serta Dewan Ulama’ dan Dewan Pemuda Pas ke atas pemutusan hubungan Pas-PKR di dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-63 pada 30 Mac 2017 ini jelas diasaskan kepada perlanggaran syarat “tahaluf siyasi”, bukannya lahir daripada keinginan Pas untuk menghancurkan PKR.
Malah sejak awal penubuhan PKR, Pas-lah yang menggembleng tenaga jentera, rangkaian akar umbi dan sumber organisasinya bagi membantu membina parti baharu tersebut.
Namun begitu, kepercayaan itu kemudiannya terhakis apabila PKR melaksanakan “Langkah Kajang” pada 2014 bagi membuka laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor melalui Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.
Langkah tersebut bukan sahaja membelakangkan Pas sebagai rakan gabungan, malah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor. Dari sudut Pas, tindakan PKR itu merupakan pengkhianatan terhadap semangat setiakawan dan prinsip permuafakatan dalam PR.
Kelima, penamatan kerjasama Pas-Bersatu pada 8 Jun 2026 juga berlaku selepas beberapa peristiwa yang menghakis kepercayaan, termasuk krisis politik Perlis yang menyaksikan Menteri Besar daripada Pas digantikan oleh pemimpin Bersatu.
Keputusan itu turut mengambil kira krisis dalaman Bersatu, keadaan Perikatan Nasional (PN) dan dakwaan bahawa Bersatu menghalang usaha memperluas kerjasama di dalam PN kepada parti-parti lain.
Sama ada semua dakwaan Pas diterima atau tidak, tindakan tersebut tetap mempunyai latar belakang dan justifikasi politik. Ia bukan keputusan tiba-tiba yang dibuat semata-mata untuk “mencincang” Bersatu.
Kesimpulannya, Pas bukan parti yang maksum atau bebas daripada kelemahan. Namun begitu, sejarah membuktikan bahawa Pas tidak memutuskan kerjasama kerana kerakusan kuasa.
Dalam sesetengah keadaan, Pas dipecat, dalam keadaan lain rakannya keluar, kembali kepada lawan atau bertindak bertentangan dengan asas kerjasama.
Menggambarkan Pas sebagai “ular dalam selimut” ialah tuduhan nakal yang lebih sesuai sebagai propaganda partisan daripada analisis politik.
Pas lebih tepat digambarkan sebagai parti yang tegas, kadangkala keras dan sukar berkompromi apabila perkara itu menyentuh prinsip perjuangan Islamnya. Ketegasan bukannya pengkhianatan.
Tiada pihak perlu takut atau ditakut-takutkan untuk bekerjasama dengan Pas. Apa yang diperlukan ialah perjanjian yang jelas, penghormatan terhadap identiti setiap parti, pembahagian kuasa yang dipersetujui dan mekanisme penyelesaian pertikaian. Kerjasama akan bertahan selagi semua pihak menghormati syaratnya.
*Dr Zailani Mohd ialah seorang pemerhati politik di celah-celah tugasan rasminya sebagai seorang pakar bedah am di KMI Healthcare, Kuala Terengganu


