
Upacara itu menerima reaksi segera dari Israel.-Agensi
MADRID – Israel berang terhadap Sepanyol susulan insiden pembakaran patung menyerupai Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dalam satu acara tradisi di selatan negara berkenaan yang mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Kementerian Luar Israel mengecam keras tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai mencerminkan ‘kebencian antisemitik yang membimbangkan’.
Dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial, kementerian itu turut mengaitkan insiden berkenaan dengan retorik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.
Sebagai reaksi, Israel memanggil wakil diplomatik Sepanyol di negara itu untuk menerima teguran rasmi, sambil menyifatkan tindakan membakar patung tersebut sebagai tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Sepanyol menolak dakwaan tersebut dan menegaskan komitmen negara itu dalam menentang sebarang bentuk kebencian serta diskriminasi, termasuk antisemitisme.
Datuk Bandar El Burgo, Maria Dolores Narvaez menjelaskan, bahawa pembakaran patung berkenaan merupakan sebahagian daripada tradisi tahunan dikenali sebagai “Burning of Judas” yang telah diamalkan sejak beberapa dekad lalu.
Menurutnya, patung setinggi kira-kira tujuh meter itu diisi bahan letupan sebelum dibakar dalam upacara yang berlangsung pada 5 April lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini, acara sama pernah menampilkan patung tokoh antarabangsa lain seperti Donald Trump sebagai simbolik dalam tradisi tersebut.
Insiden itu berlaku ketika hubungan antara Israel dan Sepanyol semakin tegang susulan perkembangan konflik di Asia Barat, termasuk penglibatan Israel dalam situasi di Iran dan Lubnan.-Agensi



