Hubungan Trump-NATO bergolak

Hubungan Trump-NATO bergolak
Hubungan Trump-NATO bergolak

Keputusan AS dijangka menggugat pertahanan di Eropah, sekali gus memberi kelebihan kepada Rusia. – Agensi

BRUSSELS – Pakatan pertahanan Barat di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kian bergolak susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memanggil pulang kira-kira 5,000 anggota tentera mereka dari Jerman.

Keretakan dalam hubungan transatlantik semakin meruncing setelah perbalahan tercetus antara Washington dan sekutunya berhubung objektif Perang Iran.

Langkah itu dibuat ketika Perang Rusia-Ukraine masih meningkat, sekali gus menjejaskan situasi keselamatan di Eropah.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell memberi alasan keputusan itu dibuat selepas satu kajian mendalam terhadap kedudukan pasukan askar AS di Eropah dan sebagai tindak balas terhadap keperluan dan keadaan semasa di lapangan.

Trump kini mengalihkan sasaran kepada blok itu selepas mengumumkan kadar tarif 25 peratus ke atas kereta dan trak dari rantau tersebut yang berkuat kuasa minggu ini dengan alasan bahawa Kesatuan Eropah (EU) gagal mematuhi perjanjian perdagangan yang dimeterai pada musim panas lalu.

Sehingga Disember 2025, terdapat 36,436 anggota tentera AS di Berlin manakala Itali (12,662 orang) dan Sepanyol (3,814 orang).

Trump juga merancang mahu memanggil pulang askar mereka dari Rom dan Madrid susulan pendirian tegas kedua-dua negara itu yang menentang Perang Iran.

“Itali tidak memberi sebarang bantuan kepada kami dan Sepanyol sangat teruk,” katanya di Pejabat Oval.

Pemimpin Republikan itu telah beberapa kali mengancam mahu mengurangkan jumlah tentera AS di Jerman dan sekutu-sekutu Eropah yang lain sepanjang kedua-dua penggal pentadbirannya di Rumah Putih bagi mengurangkan kebergantungan sekutu Barat terhadap sokongan pertahanan Washington.

Kini, beliau bertindak ‘menghukum’ sekutu-sekutu yang gagal menyokong perang di Asia Barat atau menyumbang kepada pasukan yang ditempatkan di laluan strategik Selat Hormuz di bawah kempen sekatan haram AS. – Agensi

Scroll to Top