London: Bekas bintang England, David Batty hanya menghubungi salah seorang bekas rakan sepasukannya setahun sekali semata-mata untuk mengetahui sama ada dia masih hidup sebelum menyepikan diri semula selama 12 bulan.
Gary McAllister pernah bergandingan dengan Batty di Leeds United ketika mereka menjuarai Divisyen Satu pada 1992.
Batty bersara daripada bola sepak pada 2004 dan sejak itu menjalani kehidupan di sebuah ladang terpencil.
Difahamkan, dia hampir tidak berhubung dengan sesiapa daripada bekas pemain seangkatan, namun masih menghubungi McAllister hanya sekali setahun.
McAllister memberitahu talkSPORT: “Mungkin bukan tahun ini, tetapi selalunya dia akan menelefon seminggu sebelum Krismas, hanya untuk tahu sama ada saya masih hidup dan sekadar bertanya khabar.
‘Keluarga okey? Ya? Baiklah, kita bercakap lagi tahun depan.'”
Tambahnya lagi: “Saya rasa dia tinggal di sebuah ladang. Saya tak fikir dia berhubung dengan sesiapa pun dalam dunia bola sepak.”
Batty mencatat 558 penampilan sepanjang kerjayanya dan meraih 42 kap bersama England.
Namun, dia tidak pernah merancang untuk terus terlibat dalam bola sepak selepas bersara, dan sejak itu hidup di luar radar, menolak jemputan perjumpaan semula serta tidak mempedulikan mesej dalam kumpulan sembang.
Bekas rakan sepasukan Leeds United pernah mengucapkan selamat hari lahir kepadanya dalam kumpulan sembang bulan lalu.
Namun, tiada sebarang respon daripada lelaki berusia 57 tahun itu, sesuatu yang tidak mengejutkan bekas penyerang Leeds, Mark Viduka.
Penyerang Australia itu berkata kepada BBC: “Saya rasa tiada siapa pernah melihatnya sejak kami bermain bersama. Semua orang mengucapkan selamat hari lahir kepadanya tetapi dia pun tak ada dalam kumpulan itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




