Hujan 'ais' di Ulu Tiram?

Hujan 'ais' di Ulu Tiram?

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penduduk sekitar Ulu Tiram di sini, hari ini mendakwa mengalami hujan ais atau air batu di kawasan berkenaan, lewat petang tadi.

Seorang pengguna media sosial mendakwa itu kali pertama dia melihat kejadian hujan ais terbabit.

Dia sempat memberi peringatan supaya semua yang melalui kawasan berkenaan untuk berhati-hati dengan memandu secara cermat kerana keadaan ketika itu disertai dengan ribut.

Beberapa pengguna media sosial di ruangan komen mengakui berdepan insiden sama terutamanya di sekitar bandar Tiram dan Taman Muhibbah, pada kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial dipercayai penduduk di kawasan Sungai Tiram mendakwa tiada sebarang insiden hujan ais, sebaliknya hanya hujan biasa.

Terdahulu, beberapa gambar dan video dikongsikan pengguna media sosial mendakwa berlakunya insiden hujan ais atau air batu di sekitar kawasan Ulu Tiram.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ada mengeluarkan amaran ribut petir di lima daerah di negeri ini iaitu Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga jam 7 malam.

Bagaimanapun, dalam kemas kini terbaharu, tiada sebarang amaran ribut petir dikeluarkan bagi seluruh negeri ini sehingga jam 9 malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top