am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, mendakwa ratusan ketulan batu yang masih panas atau berbara api menghujani bumbung rumahnya semasa kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, pagi Selasa lalu.
Mangsa, Mohd Khairul Amin Mohd Rashid, 38, berkata, pada mulanya dia merasakan gegaran kuat yang dialami ketika sedang tidur sekitar jam 8 pagi itu adalah akibat gempa bumi, namun sangkaannya salah sebaik membuka pintu rumah.
“Sebaik buka pintu, saya dapat rasai bahang panas dengan persekitaran seakan-akan berwarna kemerah-merahan sebelum melihat ketulan batu berbara api jatuh dari langit.
“Saya kemudian menjerit mengarahkan isteri dan tiga anak saya supaya lari meninggalkan rumah selepas rasa ada kebakaran besar berlaku.
“Pada masa sama, saya turut memikirkan keselamatan ibu, abang sulung, kakak, dan anak buah saya yang lain yang mendiami rumah berhampiran, namun tidak sempat menyelamatkan mereka akibat bahang yang teramat kuat sehingga pada saya mencecah lebih 1,000 Celsius panas,” katanya ketika ditemui BH di rumah sepupunya di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, sebentar tadi.
Mohd Khairul Amin berkata, semasa lari menyelamatkan diri, dia terus menuju ke arah Sungai Kelang untuk terjun bagi menyejukkan badan akibat bahang panas manakala isteri dan anaknya berlari ke arah berlainan melalui celah-celah unit kediaman lain.
“Semasa menuju ke arah sungai dalam jarak 200 meter dari rumah yang sedang terbakar, saya kemudian diberhentikan oleh salah seorang penduduk kampung yang menawarkan tempat berlindung.
“Dalam keadaan yang panik itu, mereka bertanya tentang keadaan keluarga saya, ibu dan juga abang, dan saya memberitahu bahawa ibu dan abang telah tiada (meninggal) kerana menjangkakan rumah mereka telah terbakar sepenuhnya.
“Tidak lama selepas berlindung di rumah penduduk kampung, kami kemudian diminta untuk menuju ke Masjid Putra Heights demi keselamatan akibat kebakaran yang berlaku.
“Alangkah terkejut saya, apabila melihat kelibat tiga anak saya di pintu pagar masjid sebelum lari terus mendakap mereka,” katanya sebak.
“Semasa berada di masjid juga, saya dihubungi oleh teman saya bahawa ibu, Adi (abang sulung), kakak, adik, dan anak buah diselamatkan anggota bomba dan penduduk kampung yang menemui mereka berlindung dalam bilik air,” katanya.
Dia hanya mengetahui tentang kebakaran itu akibat daripada letupan paip gas apabila dimaklumkan oleh penduduk kampung.
“Sebenarnya kami sudah terbau sesuatu mencurigakan sehari sebelum Hari Raya, namun tidak menjangkakan ianya adalah berpunca daripada kebocoran gas dalam paip milik Petronas.
“Semua penduduk yang sudah lama mendiami Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, dan Putra Heights pastinya tahu kawasan berkenaan adalah laluan utama paip gas Petronas dan tidak akan sesekali melakukan pencerobohan kerana boleh merisikokan diri.
“Namun, sekiranya kejadian ini berlaku akibat pencerobohan, ia mungkin perbuatan orang luar,” katanya.
Katanya yang tinggal di Lot 5, Kampung Kuala Sungai Baru, rumahnya terletak dalam jarak 100 meter dari lokasi kebakaran akibat letupan paip gas.
Baginya yang mengalami kecederaan melecur hampir 35 peratus pada tubuh badan, keselamatan semua ahli keluarganya adalah yang paling utama meskipun mengalami kerugian yang dianggarkan hampir RM2 juta.
“Saya dan keluarga kehilangan 18 unit rumah termasuk 15 unit yang disewakan dalam Lot 5 ini, kedai makan, tiga bas, empat van, 12 kereta dan 13 motosikal serta stor barangan kanopi milik keluarga yang musnah dalam musibah ini. Ini dugaan besar yang saya lalui selepas kehilangan semua harta yang diperoleh hasil kerja keras arwah ayah dan ahli keluarga. Allah nak uji saya dan keluarga.
“Apa pun pada masa ini, saya dan keluarga berharap agar pihak yang bertanggungjawab dan pihak berkuasa dapat melihat keadaan semua penduduk yang terjejas, terutama penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




