Hujan berterusan, 3 PPS dibuka di Johor Bahru

Hujan berterusan, 3 PPS dibuka di Johor Bahru

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di daerah ini susulan banjir akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga PPS itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, Dewan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Kampung Ulu Pandan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang.

Menurutnya, kesemua PPS mula dibuka pada 9 malam dan menempatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga di PPS Dewan MBJB Kampung Ulu Pandan, manakala data bagi mangsa di dua lagi PPS sedang dikemas kini.

“PPS Dewan MBJB Kampung Ulu Pandan menempatkan penduduk terjejas dari Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Ulu Pandan dan Kampung Bunga Ros.

“PPS SK Bukit Mutiara pula menempatkan penduduk terjejas banjir dari Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Paya Kenangan dan Kampung Pasir Tebrau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, setakat malam ini, Johor Bahru adalah satu-satunya daerah di negeri ini yang terjejas banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di Johor, namun terdapat amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga Jumaat ini.

Sementara, amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pajat, juga dijangka sehingga Jumaat.

Pada masa sama, Sungai Pulai di Pontian dan Sungai Skudai di Johor Bahru sudah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing 3.2 meter dan 4.29 meter.

Setakat 10 malam, semua daerah di Johor dilaporkan hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top