mdroji@bh.com.my
Kuching: Hujan lebat membantu meringankan beban pasukan penyelamat memadam kebakaran belukar seluas 16.4 hektar di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Berikutan hujan yang bermula sejak tengah hari itu, operasi pemadaman yang berlarutan selama tiga hari ditamatkan pada jam 4.03 petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran belukar di kawasan itu pada jam 8 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, operasi pemadaman pada hari ketiga tertumpu kepada usaha membuat fire break serta pemadaman terus di tiga sektor utama iaitu Sektor A, Sektor B dan Sektor C.
“Kerja pemadaman dijalankan secara berterusan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya selain mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lain.
“Syukur alhamdulillah, ketika pasukan operasi bertungkus lumus memadam kebakaran, hujan lebat berlaku sekali gus membantu memudahkan tugas anggota kami,” katanya.
Beliau berkata, seramai sembilan anggota BBP Sibu Sentral terbabit dalam operasi berkenaan sepanjang tempoh kebakaran.
“Operasi itu turut mendapat bantuan beberapa agensi lain iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kekuatan 10 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 12 anggota, RELA lapan anggota, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dua anggota serta Jabatan Kerja Raya (JKR) seorang wakil.
“Kerjasama semua agensi terbabit memudahkan usaha mengawal kebakaran, terutama di kawasan belukar luas dan sukar diakses sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Selepas operasi di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu itu ditamatkan, operasi kini ditumpukan di dua lagi lokasi kebakaran belukar yang masih aktif iaitu di iaitu di Kampung Penasu, Daro dalam Bahagian Mukah dan di Tatau, dalam Bahagian Bintulu.
Unit Udara JBPM menggerakkan pesawat Mi-171 bersama 12 org kru dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri pada jam 9.30 ke Kampung Penasu untuk melaksanakanoperasi water bombing.
Operasi selama 1 jam 30 minit itu berjaya melepaskan 40,000 liter air yang diambil dari Sungai Hulu Serdeng.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, penilaian risiko melalui pemantauan udara mendapati kemerebakan api terkawal berikutan terdapatnya ‘fire break drainage’ di sekeliling kawasan kebakaran.
Menurutnya, hasil penilaian itu, komander pesawat membuat keputusan untuk menamatkan operasi water bombing dan menyerahkan sepenuhnya tugas pemadaman kepada pasukan dari BBP Daro yang masih berada lokasi untuk melaksanakan ‘ground attack dan overhauling’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




