Hujan lebat cetus banjir di Seberang Perai Tengah

Hujan lebat cetus banjir di Seberang Perai Tengah

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Beberapa kawasan perumahan di Seberang Perai Tengah, di sini, dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang melanda daerah itu lewat petang ini.

Kawasan terjejas termasuk Seberang Jaya, Permatang Rawa, Tanah Liat, Mengkuang Titi dan Jalan Baharu.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, pasukan tindak balas digerakkan sejurus hujan lebat kira-kira 4.30 petang.

“Wakil komuniti diaktifkan bagi memantau keadaan di lapangan dan pada jam 6.15 petang kami menerima laporan limpahan air longkang serta kejadian pokok tumbang di Seberang Jaya, selain air memasuki beberapa rumah.

“Bagaimanapun, keadaan masih terkawal,” menurut kenyataan itu.

Pada jam 7.30 malam, pihak berkuasa mengesan peningkatan paras air di Mengkuang Titi.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya pemindahan penduduk diperlukan.

“Namun, sehingga jam 8 malam, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” menurutnya.

Agensi yang terbabit dalam operasi pemantauan berterusan termasuk Pejabat Daerah, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pemimpin masyarakat setempat.

Pemantauan berkala akan diteruskan di kawasan yang dikenal pasti berisiko berikutan keadaan hujan yang masih berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top