Hujan lebat ragut 15 nyawa di Angola

Hujan lebat ragut 15 nyawa di Angola
Hujan lebat ragut 15 nyawa di Angola

Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban manakala 14 yang lain cedera di Angola dalam tempoh 24 jam lalu selepas hujan lebat melanda beberapa wilayah di negara itu – Gambar hiasan

LUANDA – Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban manakala 14 yang lain cedera di Angola dalam tempoh 24 jam lalu selepas hujan lebat melanda beberapa wilayah di negara itu, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Ahad.

Menurut Agora Aguenta menerusi hantaran di media sosial, 12 kematian direkodkan di Wilayah Benguela dan tiga di ibu negara, Luanda. Mangsa yang cedera termasuk 10 orang di Benguela, seorang di Huambo dan tiga lagi di Luanda.

Lima lagi individu turut dilaporkan hilang, termasuk tiga di Luanda dan dua di Benguela, menurut laporan itu.

Di Luanda, pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 4,180 rumah ditenggelami air, dengan kerosakan ketara terhadap infrastruktur termasuk dua pencawang elektrik manakala jalan raya dinaiki air dan rumah terjejas.

Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke kawasan paling teruk terjejas, khususnya di perbandaran Mulenvos, Camama dan Cacuaco di Wilayah Luanda, menurut laporan itu. – Bernama

Scroll to Top