Padang Besar: Hujan yang turun sejak Jumaat, ibarat rahmat buat pesawah di Perlis yang dihantui kebimbangan selepas sawah mereka hampir kering akibat cuaca panas melanda negeri itu sejak tiga bulan lalu.
Bagi pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), hujan adalah sumber air utama bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi yang dijalankan.
Seorang pesawah Senawi Salleh, 68, bersyukur kerana tidak perlu risau untuk memulakan proses menakung air (proses tanaman padi) selepas tiga bulan menunggu kedatangan hujan.
“Apabila hujan turun, saya boleh mulakan proses takung air bagi membolehkan kerja-kerja sawah dimulakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Senawi berkata oleh kerana kedudukan sawahnya yang agak jauh daripada kawasan Mada, sumber air hujan menjadi keperluan penting supaya dia dapat mengerjakan sawah miliknya seluas dua hektar itu.
Salleh Yaakob, 69, pesawah dari Chuping turut gembira dan berharap supaya hujan terus turun bagi membolehkan kerja-kerja membajak sawah dilakukan segera.
“Jika hujan terus turun, selepas membajak saya boleh mula proses menabur benih,” katanya yang mengusahakan sawah seluas setengah hektar.
Bernama difahamkan terdapat 11,654 hektar sawah padi di luar kawasan Mada di Perlis dengan sebahagian besarnya mengusahakan sawah sekali setahun dan mengharapkan hujan sebagai sumber air utama.



