Hujan tidak halang kemeriahan konsert KJH Segulai Sejalai di Sarawak

Hujan tidak halang kemeriahan konsert KJH Segulai Sejalai di Sarawak

mdroji@bh.com.my

Kuching: Hujan melanda sejak petang tidak menghalang ribuan pengunjung memenuhi Dataran Perayaan di Petra Jaya, di sini sempena konsert Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai 2025, malam ini.

Konsert dibawakan U Mobile yang berlangsung hampir dua jam itu menampilkan penyanyi popular tanah air seperti Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah.

Pengunjung ternyata terhibur dengan lagu popular dipersembahkan setiap penyanyi sehingga ada yang menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing sebagai tanda sokongan sambil menghayati persembahan.

Kemeriahan konsert disertai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA, Datuk Mohd Efendi Omar.

Abdul Karim dalam ucapan ringkasnya menyampaikan penghargaan kerajaan Sarawak kepada Media Prima khususnya TV3 yang menganjurkan KJH Segulai Sejalai 2025.

“Kita merasa bangga kerana Media Prima datang sekali lagi ke Kuching untuk membawakan KJH Segulai Sejalai selepas tahun lalu.

“Terima kasih kepada Media Prima, terima kasih juga kepada semua kru yang datang jauh dari Semenanjung untuk membawakan hiburan kepada penduduk Sarawak di Kuching ini,” katanya.

Kemuncak KJH Segulai Sejalai 2025 malam esok pengunjung akan menikmati hiburan bertenaga daripada barisan bintang hebat.

Mereka yang akan tampil sebelum karnival melabuhkan tirai malam esok ialah Floor 88, Wany Hasrita, Hael Husaini serta dua bintang hebat Sarawak iaitu Dayang Nurfaizah dan Amir Jahari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top