am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila turut meluangkan masa bagi menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Siti Nurhaliza mengalu-alukan kehadiran Anwar bersama dif-dif kehormat di hadapan kira-kira 63,000 penonton yang hadir memeriahkan konsert tradisional terbesarnya itu.
“Malam ini kita menerima tetamu kehormat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terima kasih kerana sudi turun padang saksikan konsert irama tradisional terbesar saya,” katanya selepas membuat persembahan duet bersama penyanyi undangan, Haziq Rosebi.
Anwar duduk bersebelahan suami Siti Nurhaliza iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan masing-masing mengenakan baju hujan berikutan cuaca tidak menentu sepanjang konsert.
Meskipun berlangsung dalam suasana hujan sejak konsert bermula jam 8.30 malam, peminat sama sekali tidak berganjak sebagai tanda sokongan buat penyanyi nombor satu negara itu.
Melihat kesungguhan dan pengorbanan peminat walaupun dalam kebasahan, Siti Nurhaliza mengakui tersentuh, lantas mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.
“Kita merancang segalanya, tapi Tuhan menentukan. Saya tak boleh tahan hujan, tapi bila kena hujan sejuk sikit.
“Apa pun, ini satu impian yang saya tak tahu bila lagi boleh lakukan. Akhirnya jadi kenyataan di stadium terbesar negara ini,” ucap Siti Nurhaliza yang kemudiannya disambut dengan sorakan dan tepukan peminat.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dipentaskan Siti Nurhaliza selepas sembilan bulan mencipta sejarah menerusi konsert tiga dekad pembabitannya dalam industri seni, iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 di lokasi sama pada 10 Januari lalu.
Konsert berkenaan menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar kekal relevan merentas generasi.
Ini sekali gus menjadi konsert solo pertama Siti Nurhaliza di lokasi ikonik itu yang mengetengahkan sepenuhnya konsep muzik tradisional dan warisan nusantara.
Menariknya, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan artis undangan membabitkan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Haziq serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Menerusi konsert berkenaan, Siti Nurhaliza bukan sahaja mempamerkan kekuatan vokal selama kira-kira tiga jam persembahan, tetapi turut mengangkat seni budaya dengan pembabitan kumpulan penari zapin, persembahan wayang kulit dan peragaan busana tradisional.
Selain mempersembahkan lebih 30 lagu, Siti Nurhaliza turut mengambil peluang mendedikasikan penghormatan buat komposer, penulis lirik dan penggiat irama tradisional menerusi konsert berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




