BULAN Muharam bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, malah membawa makna yang besar kepada umat Islam dari segi amalan dan ganjaran dijanjikan.
Antara persoalan yang sering kali timbul menjelang 1 Muharam adalah mengenai hukum berpuasa pada hari itu.
Adakah ia dibenarkan? Adakah terdapat keistimewaan tertentu?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menjelaskan, umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama bulan Muharam.

PU SALMAN
Bukan itu sahaja, ujar beliau, keseluruhan bulan pertama dalam Islam itu termasuk dalam waktu yang amat digalakkan untuk melaksanakan puasa sunat.
“Hukumnya harus, malah ia disunatkan dan termasuk dalam bulan Muharam yang mana Nabi Muhammad SAW suka sangat kita berpuasa,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok miliknya pada Rabu.
Tambah beliau, keutamaan bulan itu disebut secara jelas dalam hadis sahih.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan ALLAH iaitu Muharam.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Berdasarkan hadis ini, sepanjang bulan Muharam ini kita sunat berpuasa,” katanya.
PU Salman kemudian menceritakan amalan tradisi ulama terdahulu yang mana mereka memberi perhatian istimewa kepada bulan itu sebagai antara masa paling utama untuk beribadah.
“Para salafussoleh begitu mengagungkan tiga kelompok 10 hari iaitu 10 hari akhir Ramadan, 10 awal Zulhijah dan 10 awal Muharam.
“Selain itu, Imam Al-Ghazali menerusi karyanya, Bidayatul Hidayah turut menyebut, disunatkan berpuasa pada satu hingga 10 Muharam,” katanya.
Namun begitu, PU Salman mengingatkan, terdapat satu hari paling utama untuk berpuasa dalam bulan tersebut iaitu pada 10 Muharam yang dikenali sebagai Hari Asyura.
Mengulas lanjut tentang keistimewaan bulan Muharam, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, bulan pertama dalam kalendar Islam itu turut digelar sebagai ‘bulan ALLAH’.

DA’I FUAD
“Menurut Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali, ia dinamakan ‘bulan ALLAH’ kerana menunjukkan kemuliaan dan keberkatannya.
“ALLAH SWT sama sekali tidak akan menyandarkan sesuatu kepada-NYA melainkan (kerana) ia sebagai bentuk penghormatan kepada makhluk-makhluk-NYA.
“Bahkan, Imam An-Nawawi Rahimahullah juga menyatakan bahawa ALLAH SWT memberikan banyak manfaat dan fadilat untuk mereka yang beramal dalam bulan Muharam,” katanya kepada Sinar Islam Plus sebelum ini.