New Delhi: Lapan bekas pegawai tentera laut India yang didakwa mengintip bagi pihak Israel dihukum penjara.
Pihak berkuasa Qatar bulan lalu, menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka sebelum meringankan hukuman itu kepada penjara.
Semua tertuduh diberi 60 hari untuk membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan, menurut BBC.
Sama ada Qatar mahupun India, tidak mendedahkan pertuduhan dihadapi semua lelaki berkenaan.
Namun, Financial Times dan Reuters yang memetik sumber melaporkan, lapan lelaki itu didakwa kerana mengintip bagi pihak Israel.
India, Qatar dan Israel tidak mengulas perkara itu, sementara butiran pertuduhan oleh mahkamah juga tidak didedah kepada umum.
India bagaimanapun mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan kes yang dilihat sebagai ujian diplomatik kepada kerajaan.
Dalam sidang media pada Khamis, jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal berkata, pasukan perundangan semua lelaki itu mempunyai akses kepada perintah yang meringankan hukuman mati dan memaklumkan ia dokumen sulit.
“Apa yang kami boleh beritahu.. sahkan kepada anda ialah hukuman mati kini telah ditukar kepada hukuman penjara yang berbeza-beza bagi lapan warga India itu,” katanya, sambil menambah bahawa mereka mempunyai 60 hari untuk merayu penghakiman di Mahkamah Kasasi, mahkamah tertinggi Qatar.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah hukuman penjara.
Penahanan semua lelaki itu pada 2022 menjadi tumpuan, dengan kerajaan negara India menjelaskan lapan lelaki terbabit adalah kakitangan syarikat swasta dikenali Al Dahra.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan secara meluas mereka sebagai bekas anggota tentera laut India, malah turut disahkan beberapa ahli keluarga lelaki itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




