Hukuman ke atas pengawal pengiring orang kenamaan tidak setimpal – Peguam

Hukuman ke atas pengawal pengiring orang kenamaan tidak setimpal – Peguam

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) melahirkan rasa lega, namun kecewa apabila pengawal pengiring orang kenamaan hanya dijatuhi hukuman denda RM1,000 atas kesalahan menumbuknya, Mei lalu.

Peguam Zaid Malek berkata, anak guamnya Ong Ing Keong, 47, berpuas hati apabila individu berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini tetapi kecewa dengan hukuman terhadap tertuduh.

“Hukuman denda terbabit nampak tidak mencukupi kerana pelaku serangan itu adalah seorang pegawai polis, yang bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai dan bukan membawa kemudaratan.

“Serangan itu dilakukan tanpa provokasi dan mangsa adalah OKU yang hanya menjalankan tugas sebagai pemandu e-hailing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaid berkata, merujuk kes Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor lawan Pendakwa Raya, Mahkamah Rayuan menghantar mesej kemarahan orang awam dengan menghukum dengan tegas dan hukuman pemenjaraan perlu dikenakan walaupun pesalah kali pertama.

“Hari ini, satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan telah dikenakan ke atas pegawai polis yang menyerang Ong.

“Beliau disabit dan dihukum denda sebanyak RM1,000 di mana kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman penjara sampai setahun, atau denda RM2000 atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, pendakwaan yang dilewatkan ini susulan kempen berpanjangan bagi mendapatkan keadilan untuk Ong, yang mendapatkan sokongan orang awam termasuk aktivis, peguam serta kumpulan sokongan OKU seperti Dawn.

“Ong terhutang budi untuk kesemua sokongan dan keprihatinan orang awam yang dia terima selama lima bulan lalu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pengawal pengiring orang kenamaan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kerana menumbuk pemandu e-hailing yang juga OKU di perkarangan sebuah hotel, Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Taufik Ismail, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top